Kesal dicurangi, pemuda sebar video lucah kekasih di grup WhatsApp
PALEMBANG - Seorang pemuda berusia 20 tahun berasal dari Kecamatan Pakuhaji, Kabupaten Tangerang, Banten ditahan polis selepas menyebarkan video lucah kekasihnya di grup WhatsApp.
Pelaku yang dikenali sebagai MMR, bertindak sedemikian kerana berang dicurangi oleh kekasihnya yang dikenali sebagai M, berusia 15 tahun.
"Mangsa yang berasal dari Kota Prabumulih, Sumatera Selatan kemudian telah membuat laporan polis sehinggalah pelaku berjaya ditangkap pada 21 Julai lalu," kata Ketua Bahagian Jenayah Siber Polis Daerah Sumatera Selatan, AKBP Hadi Saefudin kepada pemberita pada Selasa.
Tambah Hadi, pasangan kekasih itu masing-masing berkenalan menerusi media sosial.
"Setelah menjadi pasangan kekasih, MMR sering meminta supaya M mengirimkan foto tanpa pakaian dan selalu membuat panggilan video," jelasnya.
Bagaimanapun, kata Hadi meskipun sudah menjadi pasangan kekasih selama setahun mereka tidak pernah bertemu secara fizikal.
"Perubahan sikap M yang dipercayai pelaku mempunyai 'orang baru' menyebabkan dia bertindak menyebarkan video lucah tersebut," katanya.
Susulan daripada penahanan MMR, Hadi berkata, polis telah menyita telefon bimbit pelaku.
"Akibat daripada perbuatan MMR ini dia bakal dikenakan hukuman menurut Pasal 27 Ayat 1 Undang-Undang Nombor 19 Tahun 2016, iaitu boleh dihukum penjara sehingga enam tahun sekiranya disabit kesalahan," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!