Feri Pulau Kapas tenggelam
GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Sebuah feri ikonik dilaporkan tenggelam di Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth pada awal pagi Rabu.
Menurut sumber, Feri Pulau Kapas itu disedari senget dan tenggelam hampir keseluruhan pada jam 3 pagi.
"Feri ini milik Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan memang berada dalam keadaan senget.
"Ia sudah lama diikat menggunakan tali di pangkalan tersebut. Kebetulan malam tadi angin kuat, tali berkenaan putus menyebabkan feri tersebut tenggelam," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Difahamkan, pihak SPPP kini sedang berusaha mengangkat feri tersebut untuk diletakkan di dalam keadaan asal semula.
"Ketika ini, pihak bomba sedang menjalankan kerja kawalan tumpahan minyak," tambah sumber.
Sementara itu, Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian terbabit.
Bermula 1 Januari 2021, perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar telah dihentikan manakala feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.
Ini bermakna, kesemua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya.
Bermula tarikh itu juga, perkhidmatan feri bagi penumpang, motosikal dan basikal akan diambil alih oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Prasarana Malaysia Berhad.
Bagaimanapun, bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang, SPPP akan menempatkan dua buah feri ikonik di Tanjung City Marina.
Feri itu dikatakan akan diubahsuai sebagai restoran dan muzium terapung yang mana, ia tidak akan bergerak, hanya diletakkan di Tanjung City Marina.
Selain itu, pada Julai tahun sama, SPPP dilaporkan menyerahkan lima buah feri ikonik lama Pulau Pinang kepada tiga syarikat yang berkelayakan untuk diubahsuai menjadi muzium, restoran terapung dan feri pelancongan.
Lima buah feri tersebut adalah Feri Talang-Talang, Feri Pulau Payar, Feri Pulau Undan, Feri Pulau Kapas dan Feri Pulau Pinang.
Feri pelancongan akan berlabuh di Swettenham Pier dan hanya membawa penumpang tanpa kenderaan.
Feri pelancongan ini akan mempunyai restoran, bilik persidangan, restoran untuk majlis jamuan dan perkahwinan, menjual produk tempatan, kedai cenderamata dan lain-lain.
Bagaimanapun, semua feri tersebut perlu dinilai oleh Jabatan Laut terlebih dahulu sebelum dibenarkan berlayar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!