Ayyash si cilik mahir bermain bola tampar
Aksi Ayyash ketika bermain bola tampar yang dikongsi pengguna aplikasi Tiktok @cikgubulan
A
A
A
Berketinggian normal kanak-kanak sebaya pada 122 sentimeter, murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor itu tangkas di gelanggang, menguasai kemahiran asas bermain bola tampar seperti menyangga (digging) dan hantaran atas.
Menurut jurulatih bola tampar sekolah berkenaan Dr Arif Nasar Sulaiman, kanak-kanak itu telah empat kali mewakili sekolahnya di kejohanan bola tampar dengan yang terkini Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Langat Bawah 12 tahun.
Muhammad Ayyash yang bermain dalam pasukan pelapis sekolahnya, merupakan pemain tunggal yang bermain dalam semua perlawanan dan mereka berjaya ke peringkat suku akhir, kata Arif Nasar kepada Bernama.
"Dia cepat menguasai kemahiran mengawal bola dan boleh digging sebanyak 100 kali tanpa menjatuhkan bola. Merejam (spiking) pun dia boleh buat cuma belum konsisten. Jarang kanak-kanak seusianya boleh berbuat demikian,” kongsi jurulatih berkenaan yang berharap bakat kanak-kanak itu dapat terus digilap.
Sebelum ini, pengguna aplikasi Tiktok @cikgubulan berkongsi video Muhammad Ayyash bermain bola tampar bersama-sama pasukannya yang menerima respons positif dengan ribuan jumlah tontonan serta memasuki FYP (For Your Page), iaitu halaman yang mengandungi video dan kandungan tular di platform berkenaan.
Sementara itu, ibu kanak-kanak tersebut Shasha Klina Ab Razak, 43, berkata anak bongsu daripada lima beradik tersebut menuruti jejak langkah dua abangnya, iaitu Muhammad Aysar, 13, dan Muhammad Zayd, 11 tahun.
"Muhammad Ayyash mula berjinak-jinak dengan sukan itu selepas sering mengikut dua abangnya menjalani latihan sejak setahun lepas.
"Dia akan menangis kalau tidak dapat turun menjalani latihan pada hujung minggu, walaupun kadang-kadang dia dimarahi oleh jurulatihnya (dia tetap cekal),” ceritanya, menambah kanak-kanak itu turut berlatih bermain bola tampar dengan abang-abangnya apabila berada di rumah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!