IPT digesa wujud polisi antibuli - Pensyarah

Sudah tiba masa kegiatan buli khusus yang berlaku di universiti dan IPT mendapat perhatian serius oleh semua pihak.
Sudah tiba masa kegiatan buli khusus yang berlaku di universiti dan IPT mendapat perhatian serius oleh semua pihak.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak institusi pengajian tinggi (IPT) digesa untuk mewujudkan polisi berkaitan buli bagi tujuan mengatasi hal berkenaan daripada berlaku secara berterusan.

Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, cadangan tersebut dilakukan susulan sudah tiba masa kegiatan buli khusus yang berlaku di IPT mendapat perhatian serius oleh semua pihak.

Menurutnya, banyak pihak beranggapan kegiatan buli hanya berlaku dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah sahaja, namun ia boleh berlaku pada pelajar di peringkat universiti atau IPT.

“Pihak pengurusan universiti perlu merangka satu polisi jelas terhadap masalah buli. Polisi mengenai isu buli perlu dihebahkan kepada setiap pelajar dan kakitangan universiti.

“Peringatan keras terhadap sebarang tingkah laku buli harus dilakukan setiap masa. Tindakan tegas dan segera perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan gejala berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada Selasa menjatuhi enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hukuman gantung kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Enam tertuduh yang kini berusia 28 tahun itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Pada 1 Jun 2017, Zulfarhan meninggal dunia akibat didera dengan tekapan seterika wap di seluruh badan serta dipukul berhubung tuduhan kecurian sebuah komputer riba.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muzaffar berkata, pentadbiran universiti perlu menyediakan tatacara atau prosedur mudah dan jelas untuk mana-mana pihak tampil membuat aduan terhadap masalah buli yang berlaku pada diri mereka.

“Proses pemudah cara untuk saksi tampil memberikan keterangan mereka juga mesti dilakukan bagi memudahkan proses pembuktian terhadap sebarang aduan buli.

“Pensyarah perlu juga memainkan peranan dengan sentiasa peka terhadap suasana yang berlaku di sekeliling mereka,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa pendidik juga perlu bertindak dan menghulurkan sebarang jenis bantuan dengan segera jika mereka mengesyaki wujud kegiatan buli dalam kalangan pelajar atau kakitangan universiti.

Muzaffar berkata, kerajaan boleh juga merangka atau mewujudkan sebuah akta khusus bagi mengatasi isu buli dalam negara.

Jelas beliau, kerajaan boleh merujuk undang-undang anti buli United Kingdom dan Amerika Syarikat dalam usaha membendung masalah berkenaan.

“Satu bentuk kerangka perundangan yang kuat dan lebih berkesan perlu diwujudkan bagi memastikan isu buli tidak berterusan berlaku serta bagi memastikan semua pihak mengambil serius terhadap permasalahan isu buli ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!