Kertas siasatan kes bunuh Nur Farah Kartini hampir selesai - Hussein
SHAH ALAM - Kertas siasatan berkaitan kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, usaha pencarian bahan bukti di beberapa lokasi termasuk tempat kejadian telah selesai dijalankan setakat ini.
"Kertas siasatan dijangka diserahkan sebelum Jumaat ini susulan pencarian bahan bukti telah selesai dijalankan," katanya pada Rabu.
Media pada Isnin lalu melaporkan Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan kunci kereta dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan Nur Farah Kartini ketika melakukan pencarian bahan bukti di Sungai Trolak Kampung Batu 4.
Kunci itu ditemui seorang penyelam daripada unit berkenaan kira-kira jam 11.20 pagi pada jarak 50 meter daripada jambatan kecil di sungai itu yang dipercayai menjadi lokasi suspek membuang barangan milik mangsa.
Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang pada 15 Julai.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, unit berkenaan turut menemukan satu lagi bahan bukti penting iaitu dompet dipercayai milik Nur Farah Kartini di sungai tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!