Kerosin Jet-A1 hilang: Enam suspek dibebaskan dengan jaminan polis
SHAH ALAM - Enam suspek yang ditahan berkaitan kes kehilangan bahan api jenis kerosin JET-A1 di Pangkalan Udara Semenanjung, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, reman terhadap keenam-enam suspek berkenaan telah tamat pada Selasa.
"Kesemua suspek termasuk tiga anggota polis berumur antara 31 dan 55 tahun itu telah diberikan jamin polis setelah tempoh reman tamat.
"Setakat ini, polis sedang menunggu beberapa laporan daripada pihak bank sebelum menyerahkan kertas siasatan berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sinar Harian pada 21 Julai lalu melaporkan polis telah merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu siasatan berhubung kehilangan bahan api berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, setakat ini tiada tangkapan terbaharu dan enam individu termasuk tiga anggota polis yang ditahan masih dalam tahanan reman.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan polis menahan enam individu termasuk tiga anggota polis berpangkat rendah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan bahan api itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan bahan api berkenaan pada Isnin lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!