Harap perdamaian Hamas, Fatah bukan sekadar atas kertas - Ismail Sabri
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap ‘perjanjian damai’ yang ditandatangani antara Hamas dan Fatah dapat diterjemah secara nyata.
Beliau berkata, deklarasi Beijing yang ditandatangani itu amat penting bagi membuktikan bahawa mereka telah bersatu dan bersedia membina kembali Palestin selepas diceroboh dan dijajah rejim Zionis.
“Alhamdulillah, syukur, Hamas dan Fatah bersama 12 kelompok Palestin kembali bersatu dengan berikrar menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan.
“Semoga perdamaian ini benar-benar ini diterjemahkan bukan hanya di atas kertas sahaja. Palestin bebas dan merdeka!” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Hamas mengumumkan bahawa pihaknya telah menandatangani perjanjian di Beijing, China dengan pertubuhan Palestin yang lain termasuk Fatah untuk bekerjasama demi 'perpaduan nasional'.
Menteri Luar China, Wang Yi yang menjadi tuan rumah kepada pegawai kanan Hamas, Musa Abu Marzuk, utusan Fatah, Mahmud al-Aloul dan utusan daripada 12 kumpulan Palestin lain berkata, mereka telah bersetuju untuk menubuhkan 'kerajaan pendamaian nasional sementara' untuk mentadbir Gaza selepas perang.
Pertempuran tanpa henti telah menjerumuskan Gaza dalam krisis kemanusiaan paling teruk.
China telah berusaha untuk memainkan peranan sebagai orang tengah dalam konflik itu, yang kini menjadi lebih kompleks disebabkan oleh persaingan sengit antara Hamas, yang memerintah Genting Gaza manakala Fatah mentadbir Tebing Barat.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan kepada China yang berusaha mendamaikan kelompok Palestin secara tidak langsung menamatkan usaha pihak tertentu memecah-belahkan rakyat negara tersebut.
“Usaha ini harus diikuti oleh oleh seluruh dunia yang bukan hanya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi bersama-sama berusaha menamatkan penghapusan etnik dan kezaliman paling dahsyat pada abad ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!