[VIDEO] Guru tak mengaku salah guna kekerasan terhadap budak autisme

A
A
A

PETALING JAYA - Seorang guru pusat jagaan kanak-kanak istimewa, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak lelaki autisme, berusia enam tahun, minggu lalu.

M Thinesh, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di pusat jagaan di Jalan SS7/13A di sini pada 11.50 pagi, 16 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Thinesh (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu, atas satu pertuduhan menggunakan kekerasan terhadap kanak-kanak autisme berusia enam tahun, minggu lalu.
Thinesh (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu, atas satu pertuduhan menggunakan kekerasan terhadap kanak-kanak autisme berusia enam tahun, minggu lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan, tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sementara itu, peguam, Y Sharvin Nair yang mewakili Thinesh tidak membantah syarat tambahan dan kadar jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Shahril Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak kadar yang dicadangkan, termasuk syarat tambahan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan kes.

Sebelum ini, pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa, membabitkan kejadian terbabit.

Suspek dipercayai telah menendang, memukul dan menarik mangsa secara kasar sehingga mangsa terjatuh daripada kerusi.

Susulan itu, guru terbabit ditahan di kediamannya di Ampang, Selangor pada Khamis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!