Tak wajar salahkan Hamidin punca Pan-gon letak jawatan

Hamidin (kiri) dan Kim Pan-gon. Foto Bernama
Hamidin (kiri) dan Kim Pan-gon. Foto Bernama
A
A
A

SEMUA pihak diseru untuk terus memberikan sokongan penuh terhadap skuad Harimau Malaya biarpun pasukan kebangsaan kini tidak lagi dikendalikan oleh Kim Pan-gon yang telah meletakkan jawatannya minggu lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim berkata, peletakan jawatan seseorang jurulatih itu perkara normal dalam bola sepak dan tidak wajar untuk menyalahkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dengan apa yang berlaku.

"PFA menganggap bahawa peletakan jawatan Pan-gon merupakan perkara biasa dalam era bola sepak profesional. Melihat pada pengumuman yang dibuat oleh Pan-gon, jurulatih itu jelas meletak jawatan atas keputusan peribadi iaitu dalam erti kata lain bukanlah dari tekanan mana-mana pihak.

"Oleh yang demikian, PFA berpendapat persetujuan bersama telah pun dipersetujui oleh FAM dan Pan-gon, merujuk kepada tiada tuntutan pampasan antara kedua pihak. Sepertimana sedia maklum, jurulatih tersebut masih berbaki kontraknya sehingga Disember 2025," kata Zamri menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Zamri turut mengajak para penyokong bola sepak negara untuk terus memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya yang akan beraksi di Pestabola Merdeka 2024 pada September ini di bawah kendalian pemangku ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente.

"Saya sebagai Presiden PFA mengajak semua peminat dan penyokong bola sepak Malaysia untuk terus memberi sokongan terhadap usaha kepimpinan FAM memacu bola sepak negara.

"Sebagai rekod, usaha dan kerja keras yang dilakukan oleh Datuk Hamidin selaku Presiden FAM dan barisan exconya selama beberapa tahun ini dalam memastikan ranking bola sepak negara melonjak naik seharusnya dipuji dan diakui kejayaannya.

"Sekali lagi saya menyeru agar semua pihak bersatu dalam memastikan bola sepak kita kembali menggegar persada antarabangsa," ujar Zamri.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!