SPP tambah tali ikat Feri Pulau Kapas tenggelam
GEORGE TOWN - Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah mengambil tindakan segera dengan menambah tali mengikat feri (mooring lines) pada Feri Pulau Kapas yang karam di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) pada awal pagi Rabu.
Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, selain tali, pihaknya juga memasang 'iol boom' bagi mencegah sebarang tumpahan minyak daripada bilik enjin.
"Pada jam 3:26 pagi tadi, SPPP menerima laporan mengenai Feri Pulau Kapas yang karam di PSAH.
"Feri yang ditambat di Dermaga 2 PSAH itu telah mengalami kebocoran dan tidak boleh dibuat pembaikan lagi.
"Siasatan yang dibuat pada awal pagi tadi mendapati, Feri Pulau Kapas karam separuh bahagian sahaja memandangkan air laut masih surut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada pagi Rabu, sebuah feri ikonik dilaporkan tenggelam di PSAH, Butterworth yang mana ia disedari senget dan tenggelam hampir keseluruhan kira-kira jam 3 pagi.
Kejadian itu dikatakan berlaku selepas tali pengikat feri terputus akibat angin kuat pada malam Selasa.
Mengulas lanjut, Soon Hin berkata, hasrat untuk menjadikan Feri Pulau Kapas sebagai sebuah restoran terapung tidak dapat direalisasikan kerana terdapat ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan selain pajakan telah ditamatkan pada Februari 2023.
"Feri Pulau Kapas yang dibina pada tahun 1981 ini ditamatkan operasinya pada 31 Mei 2020 dan seterusnya feri berkenaan telah ditempatkan di PSAH. Feri itu kemudiannya diserahkan kembali kepada SPPP oleh Prasarana Malaysia Berhad pada 1 Januari 2021.
"Mengimbas kembali mengenai feri-feri ikonik ini, pada tahun 2021 SPPP telah memajak feri-feri ikonik termasuk Feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat yang berkelayakan untuk menjadikannya produk pelancongan di Pulau Pinang.
"Bagaimanapun hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan selain pajakan telah ditamatkan," tambahnya.
Beliau berkata, SPPP juga menerima beberapa pelawaan daripada beberapa syarikat untuk membeli atau menyewa feri-feri ikonik tersebut.
"Isu utamanya adalah kos keseluruhan yang tinggi dan cadangan lokasi penempatan feri yang tidak sesuai.
"Justeru, SPPP memutuskan untuk melupuskan feri-feri ikonik dengan kadar segera," katanya.
Bermula 1 Januari 2021, perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar telah dihentikan yang mana, feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.
Bagaimanapun, bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang, SPPP akan menempatkan dua buah feri ikonik di Tanjung City Marina.
Feri itu dikatakan akan diubahsuai sebagai restoran dan muzium terapung yang mana, ia tidak akan bergerak, hanya diletakkan di Tanjung City Marina.
Selain itu, pada Julai tahun sama, SPPP dilaporkan menyerahkan lima buah feri ikonik lama Pulau Pinang kepada tiga syarikat yang berkelayakan untuk diubahsuai menjadi muzium, restoran terapung dan feri pelancongan.
Lima buah feri tersebut adalah Feri Talang-Talang, Feri Pulau Payar, Feri Pulau Undan, Feri Pulau Kapas dan Feri Pulau Pinang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!