Maqis rampas produk hasilan babi dari Macau

Pegawai Maqis Perak menunjukkan produk hasilan babi yang dirampas setelah dibawa masuk menerusi Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada 11 Julai lalu.
Pegawai Maqis Perak menunjukkan produk hasilan babi yang dirampas setelah dibawa masuk menerusi Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada 11 Julai lalu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perak berjaya merampas produk hasilan babi dari Macau seberat lapan kilogram yang dibawa masuk menerusi Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini pada 11 Julai lalu.

Pengarahnya, Mohd Noor Hashim berkata, produk tersebut dibawa masuk menggunakan sebuah beg pakaian oleh seorang warga tempatan sebelum dikesan pihak Maqis.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati produk hasilan babi yang dibawa masuk tidak mempunyai permit import Maqis yang sah.

"Produk hasilan babi yang dianggarkan bernilai RM2,000 itu ditahan hasil daripada pemeriksaan ke atas beg yang dibawa individu terbabit oleh pegawai Maqis di pintu masuk tersebut.

"Walaupun nilai rampasan rendah namun risiko kemasukan penyakit terutama demam babi Afrika melalui produk yang disita boleh menjejaskan industri penternakan haiwan di negara kita," katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.

Mohd Noor berkata, tiada individu yang ditahan sebaliknya hanya barang-barang melibatkan produk hasilan babi dirampas.

Menurutnya, semua barang tersebut telah dirampas di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, Akta 728 dikuatkuasakan bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang diimport ke negara ini bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, kemasukan perlu mematuhi syarat yang ditetapkan seperti mempunyai permit import Maqis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!