Prestij kapal pembawa pesawat

A
A
A

MENGOPERASIKAN kapal pembawa pesawat menonjolkan status kekuatan bagi mana-mana angkatan laut dunia dan dalam hal ini, sudah semestinya keupayaan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) digeruni. AS mengoperasikan 11 buah kapal pembawa pesawat berkuasa nuklear yang setiap satu boleh membawa 80 buah jet.

Kapal kelas ini menjadi tunjang dalam armadanya selain menonjolkan pengaruh strategik AS di pentas antarabangsa.Sebab itu China yang bercita-cita untuk menjadi kuasa maritim di rantau Asia sejak 30 tahun lalu dipandang sebelah mata oleh barat sehinggalah ia mengoperasikan kapal pembawa pesawat pertamanya, Liaoning.

Liaoning asalnya kapal kelas Admiral Kuznetsov yang dibina semasa era Soviet pada tahun 1985 sebelum dihentikan dan dijual oleh firma Ukraine kepada China pada tahun 1998.

Kapal itu telah dibina semula di Limbungan Perkapalan Dalian, China lalu dikenali sebagai Type 001 dan ditauliahkan ke dalam angkatan laut negara itu pada tahun 2012.

Kini ia merupakan kapal pembawa pesawat terbesar di Asia Pasifik seberat 66,000 tan iaitu kira-kira 39,000 tan lebih berat daripada kapal pembawa helikopter Izamo milik Pasukan Pertahanan Jepun.

Liaoning bukan sekadar untuk mempamerkan kekuatan tetapi juga menjadi alat diplomasi Beijing, misalnya memberi bantuan semasa misi kemanusiaan dan bencana alam serta digunakan sebagai platform latihan bersama tentera negara-negara sahabat.

Menerusi penglibatan sedemikian, ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa China merupakan sebuah kuasa laut yang berwibawa.

Biarpun sehingga kini penugasan Liaoning masih belum jelas, tetapi ia telah memberikan kemenangan prestij selain berjaya mempamerkan kesungguhan China untuk membangunkan keupayaan angkatan lautnya sejajar dengan visi politik Beijing untuk muncul sebagai negara kuasa masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana untuk memiliki angkatan laut kelas dunia, China juga perlu mempunyai industri pembinaan kapal berkelas global.

Bina kapal

Buktinya, China berjaya membina kapal pembawa pesawat sendiri, Shandong yang ditauliahkan pada 17 Disember lalu. Shandong dibina berasaskan kapal Liaoning tetapi dengan ciri lebih baik untuk membawa 32 buah pesawat pejuang J15 dan 12 buah helikopter.

Seperti China, India juga perlu untuk menggandakan kedudukannya sebagai negara kuasa maritim apabila mengoperasikan kapal pembawa pesawat Vikramaditya yang dahulunya dikenal sebagai Admiral Gorshkov milik Soviet.

Sejak 30 tahun lalu ia mengoperasikan kapal pembawa pesawat terpakai, INS Viraat berusia 50 tahun.

India yang dibayangi dengan isu-isu kepentingan di Lautan Hindi memerlukan sebuah kapal pembawa pesawat baharu tetapi tidak terlalu besar manakala kos operasinya pula tidak tinggi.

Proses membina semula kapal seberat 45,000 tan ini mengambil masa empat tahun dengan kos kira-kira AS$2.35 bilion. Kapal ini yang ditauliahkan pada 2013 boleh membawa 30 buah pesawat seperti MiG-29K, MiG-29KUB dan 10 helikopter.

Kini, India sedang membina kapal pembawa pesawat keduanya, Vikrant di Kerala.

Biarpun Rusia berada dalam kategori kuasa tentera laut global dengan jumlah kapal perang serta kapal selam berkuasa nuklear yang ampuh, ia bagaimanapun dilihat masih kekurangan kerana tiada kapal pembawa pesawat yang besar.

Rusia hanya memiliki sebuah kapal pembawa pesawat iaitu Admiral Kuznetsov yang dibina semasa era Soviet.

Berbanding AS, tunjang kekuatan Moscow adalah pada angkatan daratnya. Justeru, hasrat Rusia untuk membina kapal pembawa pesawat termoden menarik perhatian.

Siap kelak, Shtorm dengan berat 100,000 tan boleh membawa sehingga 90 pesawat. Secara tidak langsung ini menunjukkan Moscow masih perlu menunjukkan kekuatan dalam melindungi kepentingan geopolitik Rusia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!