Pencemaran bau: Pengusaha kilang berdepan denda RM10 juta, penjara
SHAH ALAM - Pengusaha sebuah kilang pemprosesan plastik disyaki menjadi punca pencemaran sungai hingga menyebabkan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor pada Selasa berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM10 juta.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, siasatan awal mendapati berlaku kebocoran pada tangki simpanan produk Poly Methacrylic Acid (PMAA) di premis itu sehingga mengalir ke longkang dan sungai.
Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Berdasarkan pindaan Seksyen 25 pada 7 Julai lalu, ia memperuntukkan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda tidak lebih RM10 juta jika disabitkan kesalahan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Bagaimanapun Nor Aziah memberitahu, siasatan masih sedang dijalankan JAS bagi tindakan lanjut ke atas pihak terlibat.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, kerajaan Selangor tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sebuah kilang memproses bahan akrilik dari pepejal kepada cecair untuk dikitar semula yang menjadi punca kepada pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah pada Isnin.
Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, pemeriksaan awal mendapati kilang berkenaan mempunyai lesen dan beroperasi secara sah.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, tindakan tegas akan dikenakan kerana ia turut mengakibatkan empat LRA dihenti tugas dan berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual.
LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SPP1, SSP2 dan SPP3) yang dihenti tugas kembali beroperasi petang Selasa selepas bacaan 0 ton direkodkan tiga kali berturut-turut.
Gangguan bekalan air menjejaskan 1.1 juta pengguna di lebih 1,000 kawasan tujuh wilayah di Selangor dan Kuala Lumpur itu dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!