Legenda Selangor, Singapura berentap di Stadium Merdeka

Pemain veteran dan legenda Selangor bergambar bersama tetamu kenamaan di bangunan MBSJ.
Pemain veteran dan legenda Selangor bergambar bersama tetamu kenamaan di bangunan MBSJ.
A
A
A

STADIUM Merdeka dipilih sebagai venue perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor (TSSC) edisi ke-20 kerana stadium berkenaan pernah melahirkan ramai pemain terbaik negara.

Pengerusi TSSC, Tan Sri Abdul Karim Munisar berkata, kejohanan pada 17 Ogos nanti merupakan cetusan idea Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, ia merupakan platform kepada pemain legenda Selangor untuk beraksi walaupun pemain terbabit tidaklah selincah dahulu namun mereka masih memiliki kemahiran tersendiri.

“Tuanku Sultan Selangor ingin mengembalikan nostalgia perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukan Selangor dengan Singapura sebanyak 23 kali.

“Di Stadium Merdeka ini lahirnya legenda seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun dan Arumugam serta ramai lagi sehingga Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian ketika Siri Jelajah Promosi dan Penyerahan Tiket Piala Sultan Selangor 2024 kepada Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim di Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini pada Rabu.

Abdul Karim (tengah) menyerahkan replika tiket TSSC kepada Amirul Azizan (kanan).
Abdul Karim (tengah) menyerahkan replika tiket TSSC kepada Amirul Azizan (kanan).

Dalam pada itu, MBSJ melihat inisiatif urusetia TSSC amat bermakna dalam menyemarakkan lagi perlawanan bola sepak yang pastinya mendapat sambutan hangat daripada peminat setia bola sepak Selangor.

Artikel Berkaitan:

Amirul Azizan berkata, MBSJ sentiasa menyokong usaha bagi meningkatkan acara sukan di pelbagai peringkat terutamanya sukan bola sepak yang merupakan sukan yang paling diminati.

"Pihak majlis juga sentiasa membuka ruang jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan perkembangan sukan bola sepak menjadi wadah di persada komuniti Subang Jaya," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!