Bayi 2 bulan disyaki didera pengasuh hingga patah kaki
JOHOR BAHRU - Seorang pengasuh ditahan reman bagi membantu siasatan kes seorang bayi perempuan dua bulan yang disyaki didera sehingga patah kaki kiri di Bandar Dato Onn.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pengasuh wanita berusia 36 tahun itu direman selama enam hari bermula Selasa sehingga Ahad.
"Polis menahan pengasuh selepas ibu bapa bayi berkenaan membuat laporan polis petang Ahad lalu.
"Kes disiasat menerusi Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sebelum itu, tular di media sosial perkongsian ibu bayi berkenaan yang menyedari ada yang tidak kena dengan anaknya selepas mengambilnya pada Sabtu lalu.
Dakwanya ketika menukar lampin, bapa mangsa ternampak kesan bengkak pada paha kiri selain anaknya tidak aktif seperti kurang minum susu.
Bayi berkenaan kemudiannya dibawa ke sebuah klinik untuk pemeriksaan sebelum dirujuk ke hospital kerajaan.
Bagaimanapun ketika ibu bapa bayi itu menghubungi pengasuh untuk bertanyakan mengenai sebarang kejadian menimpa anaknya, dia memaklumkan tiada apa-apa yang berlaku terhadap bayi berkenaan.
Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 4.38 petang, Ahad lalu di Balai Polis Dato Onn.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!