20 tukun tiruan bakal dilabuh, bantu nelayan DUN Pantai Kundor

Tuminah
Tuminah
A
A
A

MELAKA - Jabatan Perikanan Negeri Melaka dengan bantuan Jabatan Laut Malaysia akan melabuhkan sebanyak 20 tukun tiruan di perairan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor dalam masa terdekat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, ia bertujuan untuk membantu kira-kira 300 nelayan bagi meraih hasil laut lumayan di sebalik kerancakan pembangunan yang berlaku di negeri ini.

Menurutnya, konsep pembinaan tukun itu merupakan rekaan khas dan telah mendapat kelulusan SIRIM Berhad.

Katanya, setiap satu dianggarkan bersaiz satu meter tinggi dan satu meter lebar dengan berat 700 kilogram, dibina menerusi peruntukan sebanyak RM200,000.

"Bagaimanapun lokasi untuk melabuhkan tukun tersebut belum dimuktamadkan memandangkan terdapat beberapa zon larangan yang perlu diambil kira.

"Apabila tukun ini dilabuhkan kelak, ia dapat membantu pembiakan ikan di perairan ini, sekali gus membawa sinar baharu untuk nelayan menjana pendapatan dengan hasil laut," katanya ketika ditemui di Tanjung Kling di sini, pada Rabu.

Tambahnya, tukun berkenaan dihasilkan melalui formula bahan seramik yang selamat demi persekitaran marin di kawasan berkenaan.

"Ia selepas kajian yang dijalankan sekumpulan profesor dan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) pada awal tahun lalu selama sebulan menemui beberapa faktor berlakunya kekurangan ikan di perairan Pantai Kundor sehingga menerima rungutan nelayan," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kajian berkenaan telah dijalankan di sepanjang kawasan Pantai Puteri hingga ke muara Sungai Lereh dan mendapati sumber makanan ikan seperti plankton dan sebagainya sudah hampir pupus menyebabkan ikan di sini semakin berkurangan.

"Kita juga sebenarnya telah membawa permasalahan itu ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pertengahan tahun lalu dan berharap masalah yang menghantui nelayan selama ini dapat diselesaikan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!