Tiga termasuk dua beradik didakwa tipu projek bina pangsapuri lebih RM900,000
Gambar hiasan
A
A
A
Remyrizal @ Wellen Remy Rizal, 43, dan pasangan adik beradik, I Kumara, 53, dan I Sumathi, 49, yang merupakan pengarah Aston Villa Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.
Mereka didakwa bersama-sama menipu Pengarah MZMA Construction Sdn Bhd Hin Aik Kwang, 48, dengan memperdayakannya dalam urusan mendapatkan projek pembinaan pangsapuri di Kampung Sungai Penchala serta mencagarkan satu lot tanah milik Aston Villa sekiranya projek tersebut tidak berjaya, sedangkan kesemua tertuduh tahu lot tanah itu telah dicagarkan kepada sebuah bank pada 2013.
Mereka juga didakwa menyalahgunakan wang RM987,084.17 milik MZMA Construction yang dipindahkan ke dalam empat akaun bank, masing-masing milik Sumathi, Remyrizal dan Aston Villa bagi kepentingan peribadi.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Scott, Brickfields di sini sekitar 2018 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amalina Johar tidak menawarkan jaminan kepada ketiga-tiga tertuduh, namun peguam Dhiyaulhaq Mohd Arifin yang mewakili Remyrizal memohon jaminan diberikan dengan alasan anak guamnya yang menghidap penyakit jantung memerlukan rawatan susulan di Institut Jantung Negara.
Peguam M Manoharan yang mewakili Kumara dan Sumathi turut memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya menanggung keluarga.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!