'Bukan mudah hadapi ujian ini, tapi saya kuat demi anak'

Ismail (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohd Redzuan (lima dari kiri) ketika Program Penyampaian Kotak Prihatin PERKESO di Taman Pertama pada Rabu.
Ismail (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohd Redzuan (lima dari kiri) ketika Program Penyampaian Kotak Prihatin PERKESO di Taman Pertama pada Rabu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang penghantar barang tabah membesarkan tiga anaknya selepas pemergian isteri tercinta akibat serangan jantung pada 18 Jun lalu.

Mohd Redzuan Usry, 41, berkata, biarpun masih bersedih dengan kehilangan isterinya, F Shaiela Harun, 34, namun dia perlu kuat menghadapi dugaan itu.

Menurutnya, tiga anaknya iaitu Muhammad Hazim Raziq, 4, Muhammad Aniq Danial, 7, dan Muhammad Darwisy, 10, kehilangan kasih sayang ibu terutama dalam usia mereka masih kecil.

"Saya sebak setiap kali mengenangkan mereka membesar tanpa ibu, tetapi siapalah kita untuk menidakkan takdir," katanya ketika ditemui pada Program Penyampaian Kotak Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Taman Pertama di sini pada Rabu.

Mohd Redzuan mengakui bukan mudah menempuhi ujian berat itu dan pada masa sama perlu mencari rezeki bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Katanya, isterinya itu sebelum ini pernah bekerja di sebuah kedai perkakas rumah di Sabak Bernam dan membantunya menambah pendapatan keluarga selain mengurus keperluan anak.

"Kini segala-galanya saya uruskan sendiri, tetapi saya nekad memastikan anak saya mendapat kasih sayang sepenuhnya.

"Setiap kali memandang wajah anak, perasaan saya sedih dan berdoa agar saya terus diberi kekuatan untuk memelihara amanah ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Redzuan, isterinya itu meninggal dunia semasa tidur selepas menunaikan solat Subuh kira-kira jam 6 pagi.

"Isteri mengajak saya naik ke tingkat atas dan dia kemudiannya terlelap, namun saya tersedar apabila melihat arwah tiba-tiba kaku dan sudah tidak bernyawa.

"Arwah sebelum ini disahkan mengalami masalah jantung sejak berusia sembilan tahun dan keadaannya bertambah teruk semasa dua atau tiga bulan sebelum kematiannya," tambahnya.

Mohd Redzuan memberitahu, Allahyarham isterinya ada berpesan supaya tidak memisahkan tiga anak mereka dengan bapa kandungnya, Harun Mat Tasir, 77.

"Saya memegang amanah arwah untuk terus tinggal bersama bapa mentua di sini, lebih-lebih lagi anak saya tinggal bersamanya sejak mereka dilahirkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, pihaknya menziarahi suami kepada F Shahiela bagi menyerahkan sumbangan dan penyampaian faedah.

Ujar beliau, sebanyak RM3,000 bayaran faedah pengurusan mayat telah dibayar PERKESO kepada waris F Shahiela.

"Caruman ini melayakkan tiga anaknya menerima faedah tanggungan sebanyak RM389.166 dan suami RM778.338 dengan jumlah bayaran keseluruhan RM1,167.50," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!