Tukang masak didakwa pandu berbahaya, sebabkan kematian remaja

Anggota polis mengiringi tertuduh ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada Rabu.
Anggota polis mengiringi tertuduh ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Harish Nashan Hairiel Anuwar, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta dengan cara berbahaya selepas mengambil perhatian semua keadaan, saiz jalan dan kesesakan lalu lintas sehingga menyebabkan kematian Ally Ikhwan Shah Harizan Shah, 17.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Sasaran, Kampung Bukit Kuching, Jeram di sini, kira-kira jam 7.20 pagi, pada Sabtu lalu.

Muhammad Harish didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41 (1) Αkta Ρengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofia Jaysal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan kos ikat jamin tertuduh berjumlah RM4,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes itu dan lantikan peguam ditetapkan pada 26 Ogos depan.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan, seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Sasaran, Kampung Bukit Kuching di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!