Buruh dipenjara 21 tahun, 14 sebatan tipu bantuan e-Kasih
IPOH - Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun 2 bulan dan 14 sebatan terhadap seorang buruh kerana menipu menggunakan nama bantuan e-Kasih sejak Januari lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Halmi Ismail, 49, mengaku bersalah atas 13 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Bapa empat anak itu bagaimanapun hanya perlu menjalani penjara empat tahun kerana semua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.
Di hadapan Majistret Siti Nora Sharif, tertuduh membuat perakuan bersalah atas empat pertuduhan dengan curang menipu empat lelaki berusia lingkungan 65 hingga 76 tahun dengan menawarkan bantuan e-Kasih yang dalam pengetahuannya tidak wujud.
Ia mendorong mangsa-mangsa menyerahkan wang keseluruhan RM2,150 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan jika tidak diperdayakan sedemikian
Sementara itu di hadapan Majistret S Punitha, Muhammad Halmi mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan menipu tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 60 hingga 77 tahun dengan modus operandi sama hingga mengakibatkan semua mangsa kerugian RM4,230.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi di sekitar Ipoh pada masa dan tarikh berbeza antara 1 Januari hingga 23 Jun 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.
Dalam prosiding ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini dan Nurul Hidayu Zakaria.
Tertuduh pula diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Robert S Gnanarajan, M Kathan dan Dayang Nor Emilia Azman Shah.
Dalam rayuannya, Dayang Nor Emilia memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan dengan mengambil kira faktor usia dan keadaan tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara bagi kes lain.
Katanya, kesalahan dilakukan tertuduh juga hanya melibatkan kerugian dan tidak mendatangkan kecederaan jenayah kepada mangsa.
Bagaimanapun, Nurul Hidayu memohon hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bantuan e-Kasih dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai bagi proses permohonan dan pembukaan akaun baru.
Setelah memperoleh wang, lelaki itu akan berpura-pura keluar daripada bank bagi membuat salinan kad pengenalan pemohon.
Mangsa yang diminta menunggu di bank hanya menyedari ditipu apabila lelaki terbabit tidak datang kembali.
Sebelum ini, polis memberitahu berjaya memperoleh 36 pertuduhan ke atas tertuduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 417 kanun sama.
Selain Mahkamah Majistret Ipoh, tertuduh turut akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Taiping, Manjung dan Hilir Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!