Kes culik Albertine: Tiada tangkapan baharu

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Kumarasan
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Kumarasan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis Johor mengesahkan tidak ada sebarang tangkapan terbaharu berhubung kes culik kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, setakat ini hanya lima suspek di bawah tahanan reman polis bagi membantu siasatan.

“Tiada tangkapan baharu. Terima kasih,” jawabnya ringkas berhubung perkembangan terkini kes tersebut.

Beliau turut berharap orang ramai agar bersabar dan memberikan peluang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

"Harap bersabar, persoalan akan dijawab setelah siasatan selesai. Mohon beri ruang untuk pihak polis selesaikan siasatan berhubung kes berkenaan. Terima kasih," katanya lagi.

Setakat Rabu, hanya lima suspek yang masih direman bagi membantu siasatan kes.

Untuk rekod, Jia Hui disedari hilang sekitar jam 8.30 malam oleh ibu bapanya yang berniaga di festival Bon Odori di pusat beli-belah itu, di sini Sabtu lalu.

Kes kehilangan kanak-kanak itu kemudian diklasifikasikan daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.

Artikel Berkaitan:

Dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 hingga 55 tahun ditahan kira-kira jam 1.30 petang di sekitar kawasan Gelang Patah, Iskandar Puteri, sebelum tangkapan susulan dibuat terhadap seorang lagi wanita berusia 40-an ditahan sekitar daerah ini jam 12.15 tengah semalam.

Keempat-empat suspek warga tempatan itu kemudian ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

Polis kemudiannya menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 31 tahun yang ditemukan bersama suspek di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!