Lebih RM300 juta cukai pelancongan dikutip dalam tempoh 4 tahun
SHAH ALAM - Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencatatkan kutipan cukai pelancongan sebanyak RM308.33 juta bagi tempoh 2018 hingga 2022 lalu.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM135.49 juta berjaya dikutip pada 2018 dengan RM67.74 juta daripadanya diagihkan kepada kerajaan negeri.
Pada 2019 pula katanya, sebanyak RM134.94 juta berjaya dikutip, manakala sebanyak RM37.90 juta diperoleh bagi separuh tahun pertama 2020.
"Cukai pelancongan mula diperkenalkan pada 2017 setelah Akta Cukai Pelancongan 2017 diwartakan pada 21 Jun 2017. Susulan itu, cukai pelancongan mula dikutip pada 2018, 2019 dan separuh tahun pertama 2020.
"Walau bagaimanapun, kutipan cukai pelancongan ditangguh bermula 1 Julai 2020 sehingga 31 Disember 2022 disebabkan oleh penutupan sektor pelancongan akibat penularan pandemik Covid-19.
"Kutipan cukai pelancongan mula dilaksanakan semula pada 1 Januari 2023," katanya di Dewan Negara pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai jumlah cukai pelancongan yang berjaya dikutip setakat ini.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Hisamudin mengenai cara hasil kutipan digunakan dalam bidang pelancongan negara, King Sing memaklumkan ia diagihkan kepada kerajaan Persekutuan dan negeri.
Bagaimanapun katanya, agihan tersebut hanya boleh dibelanjakan bagi skop berkaitan pembangunan sektor pelancongan, seni dan budaya.
"Skop itu meliputi penyelenggaraan dan penyediaan kemudahan pelancongan, bangunan dan tapak warisan, promosi dan pemasaran destinasi pelancongan, penambahbaikan terhadap penyusunan statistik pelancongan, seni lan budaya dan inisiatif pendigitalan produk-produk pelancongan, seni dan budaya," katanya.
Tambahnya, MOTAC akan sentiasa memastikan supaya hasil kutipan cukai pelancongan dibelanjakan bagi tujuan yang ditetapkan sahaja dalam nemastikan pembangunan sektor pelancongan, seni dan budaya negara lapat dilaksanakan secara berterusan dan memberi manfaat kepada pelbagai pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!