Bangga namun sedih anak alami pengalaman buruk pada usia kecil

Situasi Muhammad Iman Anaqi membantu ibu saudaranya terperangkap di dalam lif.
Situasi Muhammad Iman Anaqi membantu ibu saudaranya terperangkap di dalam lif.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bangga anak berusia empat tahun mampu hadapi situasi kecemasan dengan baik, namun pada masa bersimpati dengannya kerana berdepan pengalaman buruk ketika usia masih kecil.

Demikian luahan Nurul Nazirah Ramli, 28, ibu kepada Muhammad Iman Anaqi Muhammad Hafiz yang video tular memaparkan kanak-kanak itu cuba membantu ibu saudaranya terperangkap di dalam lif.

Menceritakan kejadian, Nurul Nazirah berkata, kakaknya, Nurul Sakinah Ramli, 34, baru pulang mengambil Muhammad Iman dari pusat asuhan di bawah blok terletak di Jalan Klang Lama.

Nurul Nazirah bersama anaknya, Muhammad Iman Anaqi.
Nurul Nazirah bersama anaknya, Muhammad Iman Anaqi.

Menurutnya, ketika sampai di tingkat lapan, anaknya sempat keluar lif namun kakaknya yang dipanggil Mak Lang terperangkap di dalamnya apabila pintu lif secara tiba-tiba tertutup.

"Kebetulan Nurul Sakinah pegang bekas makanan jadi dia sempat tahan lif tersebut dengan bekas itu, namun kemungkinan disebabkan masalah sensor rosak jadi pintu lif itu tetap tertutup.

"Biasa kalau kita tahan macam itu lif akan terbuka semula tapi semasa kejadian, tidak berlaku seperti itu menyebabkan jari kakak turut tersepit," kongsinya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Katanya, Nurul Sakinah kemudian menghubunginya memaklumkan kejadian sebelum dia tiba ke lokasi sepuluh minit kemudian.

Artikel Berkaitan:

"Saya yang memang kebetulan dalam perjalanan pulang dari pejabat memintanya bertenang dan kurangkan pergerakan kerana bimbang kemungkinan lif tersebut terjunam.

"Selepas itu, saya terus hubungi bomba untuk bantuan kecemasan. Kira-kira 20 minit juga kakak saya terperangkap di dalam lif tersebut," katanya.

Katanya, keluarganya telah menyewa di pangsapuri itu sejak tiga tahun lalu dan telah beberapa kali lif perumahan itu mengalami kerosakan.

Ujarnya, kejadian yang berlaku sekitar jam 4.45 petang Selasa itu adalah kejadian terburuk pernah dialaminya.

Pasukan bomba tiba bagi membantu Nurul Sakinah yang terperangkap di dalam lif.
Pasukan bomba tiba bagi membantu Nurul Sakinah yang terperangkap di dalam lif.

Susulan kejadian itu katanya, anak tunggalnya itu mengalami trauma namun keadaan kembali pulih selepas ditenangkan.

"Sebagai ibu perasaan saya memang tak sangka dia dapat bertindak meminta tolong. Saya sebak dalam masa sama bangga sebab dia boleh atasi situasi itu.

"Cuma saya kesian sangat sebab dia kecil lagi tapi sudah berdepan dengan situasi panik macam itu," katanya.

Nurul Nazirah berkata, anaknya tidak mahu menggunakan lif lagi selepas kejadian itu namun memberanikan diri selepas dipujuk.

"Malam tadi dia ada cakap tak nak naik lif dan mahu gunakan tangga sahaja menyebabkan saya mulai risau.

"Bagaimanapun, pagi tadi selepas saya cakap elok-elok dengannya, saya pegang tangannya, saya tengok dia baik-baik saja.

"Cuma dia banyak tanya keadaan lif tapi kita tenangkan dia, nampak dia faham alhamdulillah," katanya.

Wanita itu memaklumkan, dia menyimpan hasrat untuk berpindah mencari rumah sewa lain selepas kejadian itu

Pada masa sama, dia berharap pihak pengurusan dapat mengatasi isu lif berkenaan demi keselamatan penduduk bagi mengelak situasi sama berulang.

"Pangsapuri ini kos rendah, dalam lif pun tak disediakan CCTV. Walaupun ditekan loceng kecemasan tiada yang datang hulurkan bantuan semasa kejadian.

"Saya pun tak pasti semua penyewa bayar yuran penyelenggaraan atau sebaliknya. Itu antara salah satu faktor lif tersebut kerap rosak sebab tak mampu tampung kos pembaikan.

"Cuma saya harap sistem pengurusan ditambah baik dan peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Video berdurasi hampir seminit itu dikongsikan di aplikasi TikTok dan telah menarik tontonan lebih 2 juta pengguna media sosial dalam tempoh kurang 24 jam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!