Jaguh global tidak diukur dengan kuasai bahasa Inggeris semata-mata - Ahli akademik

Mohd Tajuddin
Mohd Tajuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Ketokohan seseorang individu bukan dinilai dengan keupayaan menguasai bahasa Inggeris semata-mata tetapi manfaat daripada ilmu dan pengalaman yang dimiliki mereka.

Ahli Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi berkata, perkara tersebut juga dibuktikan dengan ramai tokoh atau ilmuan terkenal dunia tidak cekap dalam bahasa global yang digunakan secara meluas itu.

Sehubungan itu, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan pandangan bahawa masyarakat yang tidak mahir berbahasa Inggeris hanya berada pada tahap 'jaguh kampung'.

"Ketokohan seseorang itu tidak bergantung kepada bahasa Inggeris yang dikuasai tetapi bergantung kepada nilai kebudayaan, pengalaman dan sumber (ilmu) yang ada. Mungkin sumber (ilmu dimiliki sehingga seseorang itu boleh diangkat tokoh global) dalam bahasa lain (dan) tidak semestinya bahasa Inggeris.

"Sejarah juga membuktikan bahawa pada satu ketika dahulu, bahasa Inggeris tidak diiktiraf langsung. Saya sebagai ahli akademik juga banyak membaca buku-buku yang mana ada buku yang dibaca terjemahan daripada Perancis, bahasa Urdu, Jepun dan sebagainya.

"Sudah pasti terjemahan daripada bahasa Inggeris tetapi pokok pangkalnya ahli atau tokoh ini tidak menguasai bahasa Inggeris pun, namun tulisan ilmu mereka memanfaatkan manusia dalam konteks budaya dan keupayaan mereka sendiri (walaupun tidak kuasai bahasa Inggeris).

"Malah, saya sifatkan diri saya sendiri sebagai jaguh kampung, meskipun mempunyai pengalaman lebih 30 tahun menulis tentang Malaysia, politik dan sebagainya kerana tulisan saya banyak menggunakan bahasa Melayu," katanya kepada Sinar harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung pentingnya menguasai bahasa Inggeris untuk seseorang individu itu bergelar jaguh global.

Artikel Berkaitan:

Pendapat itu diberikan Abang Johari ketika menjadi tetamu audio siar Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Tajuddin berkata, tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik, meskipun mempunyai ilmu tinggi dalam bidang yang dimiliki tidak meletakkan seseorang itu hanya bersifat jaguh kampung.

"Gambaran bahawa hanya menguasai bahasa Inggeris barulah boleh dianggap juara atau jaguh global seolah-olah memberi gambaran bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai nilai. Jadi, saya berpandangan bahawa aspek ini perlu dilihat semula," katanya.

Tambahnya, semua pihak khususnya pemimpin sewajarnya berusaha untuk mengangkat lagi bahasa Melayu yang menjadi jati diri rakyat di negara ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!