Operasi pembenihan awan bakal dilaksanakan di Sungai Muda
ALOR SETAR - Operasi pembenihan awan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat di Sungai Muda, di sini, demi memastikan bekalan air mencukupi untuk menampung keperluan Kedah dan Pulau Pinang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa agensi termasuklah Lembaga Sumber Air Negeri (LSAN), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah meminta pembenihan awan dilakukan.
Selain itu, beliau memaklumkan, sebelum ini, Pulau Pinang juga ada membuat permintaan untuk pelepasan air dari Empangan Beris.
"Sehari dua ini, akan dibuat pembenihan awan hasil permintaan dari Lembaga Sumber Air, MADA (dan) SADA (yang) akan dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) beberapa kali.
"Saya difahamkan tiga kali pembenihan awan untuk kita stabilkan semula kedudukan paras air di Sungai Muda," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pada Rabu.
Muhammad Sanusi menzahirkan rasa simpati dengan nasib Pulau Pinang yang terkesan berikutan paras air Sungai Muda menurun.
"Saya nampaklah gambar kekeringan di muka sauk di Lahar Tiang, yang paras air Sungai Muda ini surut. Jadi empat hari lepas, dilepas 10 q (meter padu) air," katanya.
Beliau memberitahu, pelepasan air akan dilakukan secara berkala sehingga paras air stabil untuk menghasilkan air terawat dan bersih.
Menurutnya, kerja-kerja pelepasan air berkenaan dilakukan demi membolehkan bekalan air mencukupi untuk Pulau Pinang dan Kedah.
Tambah Muhammad Sanusi, situasi terbabit menunjukkan Pulau Pinang sememangnya bergantung kepada Kedah untuk mendapatkan bekalan air.
Sebelum ini, media melaporkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) terpaksa melepaskan air dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di Seberang Perai.
Ia berikutan paras Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang dekat sini menurun di bawah dua meter selama empat hari berturut-turut sejak Khamis lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!