Seleweng RM270,000, CEO bergelar profesor ditahan SPRM
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang profesor yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat perkhidmatan pendidikan tinggi pada Rabu.
Sumber berkata, suspek ditahan kerana dipercayai menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi bernilai RM270,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan jam 7 malam, Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Katanya, susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.
"Perintah reman selama tujuh hari sehingga Selasa telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan wang bernilai RM270,000 untuk kegunaan peribadi termasuk membayar hutang dan beli kereta serta perbelanjaan peribadi yang lain," katanya pada Rabu.
Kata sumber, suspek juga disyaki mengarahkan kakitangan syarikat menyediakan surat untuk bayaran gajinya berjumlah kira-kira RM12,000 sebulan sejak Mac 2023.
Sedangkan jelasnya, surat pelantikan suspek sebagai CEO hanya melayakkannya menerima lima peratus daripada keuntungan tahunan syarikat.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!