Sembunyi atas siling, terjun dalam longkang elak ditahan
SEREMBAN - Bukan sahaja bersembunyi di atas siling yang sempit, malah ada yang sanggup membahayakan diri dengan nekad terjun ke dalam longkang.
Itu antara aksi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba meloloskan diri ketika operasi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan di 18 lokasi di daerah ini dan Jelebu.
Operasi yang bermula jam 9.30 pagi pada Selasa dan berakhir jam 4 pagi pada Rabu itu telah menggempur antaranya kawasan tapak projek pembinaan, taman perumahan, pusat hiburan, restoran dan juga rumah kedai.
Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang berkata, seramai 127 warga asing telah diperiksa dan 102 daripadanya yang berusia antara 17 hingga 55 tahun telah ditahan.
"Mereka terdiri daripada 73 lelaki dan 29 wanita yang merupakan warga Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Myanmar, India, China dan Thailand.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, semasa serbuan berlaku aksi kejar di antara pegawai imigresen dengan PATI di lokasi tapak pembinaan sehingga salah seorang daripada mereka nekad terjun ke dalam longkang.
Bagaimanapun katanya, PATI berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Di salah satu lokasi serbuan, ada yang bertindak bersembunyi di atas siling yang sempit dan gelap selain cubaan menyorok di dalam kawasan semak yang tebal bagi mengelak dicekup anggota penguatkuasaan.
"Namun, kesemuanya berjaya diberkas oleh pasukan serbuan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini," katanya.
Ujarnya, kesemua ditahan telah ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, sebanyak 11 borang saman saksi telah dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke imigresen bagi membantu siasatan.
"Imigresen amat memandang serius dan akan mengenakan tindakan yang setimpal terhadap pemilik atau majikan yang menggajikan warga asing tanpa dokumen dan pas lawatan kerja sementara yang sah.
"Mereka juga boleh dikenakan tindakan kerana dengan sengaja memberi perlindungan pada pekerja asing yang telah melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya.
Beliau juga menyeru orang ramai agar tampil menyalurkan maklumat kepada Imigresen sekiranya mempercayai terdapat aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan persekitaran mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!