PRK Nenggiri: PN akan umum calon sebelum hari penamaan calon
ALOR SETAR - Calon yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diumumkan pada hujung bulan ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini, tiga nama calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah disenarai pendek untuk dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon pada 3 Ogos nanti.
Beliau berkata, buat masa ini, PN belum membuat keputusan calon dipilih dari Bersatu ataupun Pas.
"Dari parti mana (bertanding) sekarang, saya tak ada masalah. Jikalau Bersatu, (maka) Bersatulah (dan) jikalau Pas, (maka) Paslah atas nama PN.
"Ada kenyataan daripada Pemuda Pas kawasan tersebut minta calon Pas tapi kita faham kerusi itu dulu milik Bersatu, Bersatulah bertanding. Saya rasa tak berubah kot," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai jangkaan tarikh pengumuman calon PN bagi DUN Nenggiri.
Muhammad Sanusi memberitahu, PN akan membuat satu keputusan tentang hal calon bertanding dari parti selepas ini.
"Saya difahamkan ada tiga calon (dan) ketiga-tiga itu akan dibuat pertimbangan," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula Rabu.
Mohd Amar memberitahu keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan Parti Bersatu pada 12 Jun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya mengumumkan 17 Ogos depan sebagai PRK DUN Nenggiri.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi menafikan dakwaan berlaku pertemuan antara Pas dan UMNO bagi membentuk kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, pertemuan dengan parti-parti ini biasanya berlaku sekiranya ahli-ahli parlimen pergi Parlimen dan berjumpa setiap hari.
"Saya rasa itulah punca kepada cerita ini. Jumpa lah, jumpa di Parlimen sahaja, tak adalah secara rasmi ada ini, tak ada.
"Saya hadir mesyuarat Pas, tetapi tak ada laporan tentang pertemuan. Tidak dilaporkan dan tidak dimaklumkan," katanya.
Muhammad Sanusi berkata, beliau merupakan Pengarah Pilihan Raya dan pastinya akan tahu dan dimaklumkan sekiranya ada pertemuan antara parti itu.
"Tak adalah. Jumpa tak rasmi saya pun dok jumpa pemimpin UMNO. Hat DAP pun saya jumpa. Baru ini jumpa Fahmi Fadzil, di Istana (Negara) dia depan saya.
"Kalau berjumpa pertemuan itu dikira pertemuan, saya jumpa selalulah. Tapi tak adalah bincang hal-hal hala tuju politik apa... tak ada. Kalau nak tulis terserempak lah kan,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!