Dua pelajar Universiti Seoul lemas ketika mandi Air Terjun Lubuk Kain

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang dijumpai pada jarak 10 meter dari dasar lubuk di kawasan air terjun tersebut.
Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang dijumpai pada jarak 10 meter dari dasar lubuk di kawasan air terjun tersebut.
A
A
A

DUNGUN - [DIKEMAS KINI] Keterujaan dua pelajar Universiti Seoul, Korea Selatan yang sedang bercuti berkelah bersama lima rakannya di kawasan perkelahan, Air Terjun Lubuk Kain, Hulu Dungun di sini pada Rabu berakhir tragedi apabila mereka lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Sharifuddin Ali berkata, mangsa, Muhammad Danial Danish Kamal dan Nor Mokhriz Nor Mohamad masing-masing berusia 20 tahun yang juga pelajar Universiti Seoul ditemukan pada kedalaman 10 meter di dasar lubuk berkenaan.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian menimpa mangsa yang berasal dari Kuantan, Pahang itu jam 12.36 tengah hari dan mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi terbabit.

"Sebaik tiba mayat mangsa telah ditemukan oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh anggota perubatan bertugas.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Rabu.

Dua mayat mangsa lemas dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Dua mayat mangsa lemas dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, rakan mangsa yang terselamat, Mohd Azim Azad, 20, berkata, mereka bertolak dari Kuantan jam 8 pagi dan tiba di kawasan air terjun itu jam 10 pagi.

Pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuantan itu berkata, dia bersama Muhammad Danish Danial dan Nor Mukhriz mandi di kawasan berbatu yang lebih tinggi manakala empat lagi rakan mereka mandi di kawasan rendah.

Artikel Berkaitan:

"Ketika sedang mandi, kami bertiga tiba-tiba dihanyutkan arus kuat. Kedua-dua rakan saya sempat berpaut dan menggenggam tangan saya malangnya terlepas.

"Dalam masa beberapa minit sahaja kedua-dua rakan saya tenggelam dibawa arus deras dan hilang dari pandangan," katanya.

Mohd Azim berkata, dia bernasib baik kerana terdapat penduduk yang menyedari kejadian itu dan membaling pelampung.

"Saya berjaya berenang dan mencapai pelampung untuk menyelamatkan diri.

"Saya bersyukur terselamat, namun terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan dua rakan saya itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!