Hilang sejak semalam, di mana Nurul Aishah Farhana?
HULU SELANGOR - Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan, Nurul Aishah Farhana Azni, 17, yang dilaporkan hilang sejak Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Nurul Aishah Farhana pada jam 12.42 tengah hari, Rabu.
"Bapa remaja perempuan berusia 56 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Batang Kali. Difahamkan Nurul Aishah Farhana pernah menghilangkan diri pada Januari lalu, namun pulang dalam tempoh 24 jam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Asri berkata, lokasi terakhir remaja perempuan itu adalah di sebuah kedai makan di Bandar Utama Batang Kali pada jam 9.30 malam, Selasa.
"Nurul Aishah Farhana kali terakhir dilihat memakai tudung berwarna hitam, kemeja T kosong biru gelap lengan panjang, seluar hitam dan memakai sandal coklat cerah.
"Fizikalnya berkulit cerah, tidak memakai cermin mata, berketinggian antara 150 hingga 155 sentimeter dan berat badan sekitar 50 hingga 55 kilogram," katanya.
Mohd Asri berkata, orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat berkaitan remaja perempuan itu supaya terus menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
"Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Muhammad Saiful Abdul Rahman ditalian 03-60641222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor (03-60641223)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!