Perhilitan Kelantan pasang perangkap beruang di Felda Perasu

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memasang satu perangkap untuk menangkap sekumpulan beruang yang didakwa mengganggu ketenteraman peneroka Felda Perasu.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Armanty Haniff Mohamed Hanif berkata, perangkap itu dipasang anggota Perhilitan Gua Musang pada 6.15 petang tadi selepas mendapat aduan daripada penduduk.

“Anggota Perhilitan Gua Musang mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memasang perangkap berkenaan di ladang sawit berdekatan rumah peneroka dipercayai kawasan kumpulan beruang itu berkeliaran,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau turut menasihatkan peneroka supaya membersihkan kawasan persekitaran rumah dan ladang sawit bagi mengelak kumpulan beruang berkenaan menjadikannya sebagai tempat berlindung.

Katanya, penduduk juga digalakkan untuk tidak membuang sisa makanan berdekatan rumah kerana dibimbangi haiwan berkenaan akan menghampiri rumah mereka untuk mencari makanan.

“Selain itu, peneroka yang menternak madu kelulut juga dinasihatkan untuk membuat pagar yang kukuh di kawasan ternakan mereka kerana beruang gemar kepada madu,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!