'KPM jangan buat keputusan u-turn isu tajaan syarikat arak' - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu tegas dalam isu penajaan arak di sekolah vernakular dan tidak membuat sebarang pusingan U demi memenuhi kehendak beberapa pihak berkepentingan.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara tersebut tidak boleh terus menjadi normalisasi dalam masyarakat kerana berupaya menjadi ancaman dan memberi implikasi buruk dalam kehidupan.

Menurutnya, ia selaras dengan garis panduan KPM yang melarang sebarang penglibatan syarikat arak dalam program sekolah.

“Saya berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan bertegas mengenai perkara ini dan tidak akan membuat keputusan u-turn hanya semata-mata memenuhi kehendak beberapa pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

“Ini bukan soal kaum atau sekolah jenis kebangsaan, ini soal untuk melindungi generasi masa hadapan kita daripada ancaman bahayanya arak dan kesan negatifnya kepada kehidupan.

“Menormalisasikan kanak-kanak kepada arak pada usia muda amat mendukacitakan dan bukan langkah terbaik untuk generasi pelapis kita,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Baru-baru ini, sebuah sekolah rendah di Sepang, Selangor telah menganjurkan konsert amal dengan penglibatan sebuah syarikat minuman keras yang merupakan antara penyumbang majlis tersebut.

Susulan itu, isu pemberian sumbangan dan tajaan oleh syarikat minuman keras kepada sekolah-sekolah Cina akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana penglibatan syarikat minuman keras bagi membantu mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

Mengulas lanjut, menurut Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), syarikat korporat perlu membantu sekolah vernakular bagi mendapatkan dana tambahan.

“Saya berharap syarikat korporat lain dapat sama-sama membantu sekolah vernakular bagi mendapatkan dana tambahan untuk pengoperasian sekolah mereka. Ini dapat mengelakkan penglibatan syarikat arak dalam aktiviti sekolah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!