Penduduk hilang sabar gangguan anjing liar
GANGGUAN anjing liar atau anjing jalanan bukan satu isu kecil kerana haiwan berkenaan sudah mula mengancam keselamatan dan mencederakan orang awam.
Apa Khabar Rakyat kali ini menyelami keluhan penduduk di Laman 2 Bandar Seri Putra (BSP), Kajang, Selangor yang berdepan dengan ancaman haiwan tersebut di perumahan majoritinya terdiri daripada masyarakat Islam.
Laman 2 BSP mempunyai kira-kira 800 unit rumah dengan jumlah penduduk sekitar 4,000 orang dan rata-ratanya kecewa apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) seolah-olah tidak bersungguh-sungguh mahu menyelesaikan masalah berkenaan.
Wartawan Sinar Harian, MOHD AZLIM ZAINURY yang menemui penduduk dimaklumkan sudah ada kanak-kanak dan remaja cedera termasuk patah tangan angkara serangan anjing liar di situ.
Walaupun aduan sudah dibuat dan perangkap telah dipasang namun penduduk mendakwa masalah gangguan anjing liar masih belum dapat diatasi, bahkan jumlah haiwan tersebut terus bertambah dari masa ke masa.
Ahli Jawatankuasa Surau Saidina Umar al-Khattab, Ahmad Nazarudin Mohamad Jawahir, 43, berkata, kemuncak kemarahan penduduk apabila anjing-anjing itu sudah berani memasuki kawasan surau.
“Pintu pagar surau perlu dipastikan sentiasa ditutup, bimbang sekiranya anjing-anjing liar ini terus bebas memasuki kawasan surau,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, penduduk terus membangkitkan masalah anjing liar kerana ia berkait isu keselamatan dan kebersihan termasuk sudah mengadu kepada pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Ahmad Nazarudin menjelaskan, PBT ada memberikan perhatian dan mengambil tindakan tetapi masih gagal mengatasinya kerana kehadiran anjing liar masih berleluasa sehingga kini.
Ujarnya lagi, penduduk kini sudah hilang sabar dan berharap semoga ada penyelesaian di peringkat jabatan atau penguatkuasaan agar ancaman anjing liar itu dapat segera diselesaikan.
“Sudah ada dua kes kecederaan berlaku dan haiwan ini boleh menjadi ganas yang bukan sekadar mencederakan malah mampu melakukan lebih daripada itu,” ujarnya.
Gesa jalan penyelesaian tuntas, elak kecederaan berulang
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Penduduk Laman 2 BSP, Mohamad Nasurdin Talib, 65, berkata, anjing liar mendatangkan bahaya kepada penduduk yang melakukan riadah di kawasan berkenaan.
“Janganlah aktiviti riadah diganggu oleh kehadiran anjing liar. Yang penting jangan ada yang cedera parah baru mahu bertindak,” ujar Mohamad Nasurdin.
Ujarnya, semua pihak termasuk yang melindungi haiwan itu diharap dapat mencari jalan menangani isu berkenaan dengan mengemukakan cadangan yang membawa kepada jalan penyelesaian.
“Kita faham ada pihak mempertahankan kehadiran anjing liar dengan menyalahkan penduduk melakukan provokasi namun di sini penduduk sebenarnya yang menjadi mangsa,” ujarnya.
Bagi Ar Muhamad Bifisol Osman, 58, beliau berharap isu anjing liar ini diselesaikan secara tuntas dan diatasi dengan sebaik mungkin walaupun ada pihak menganggap ia sebagai isu yang remeh.
“Penduduk tidak kisah dengan anjing yang dijaga dengan baik oleh pemiliknya. Masalah sekarang ini ialah isu anjing liar ini masalah yang serius.
“Sekiranya penduduk cedera ada atau tidak mana-mana pihak yang akan membantu? Kami harap semua pihak dapat menggembleng tenaga mengatasinya,” ujarnya.
Dalam pada itu, penduduk turut berharap Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan atau Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan membangkitkan isu berkenaan di Dewan Rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!