Syarikat arak taja program sekolah, wajar atau tidak
BARU-baru ini, seorang pemimpin telah hadir ke sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) bagi majlis perasmian kutipan dana yang dikatakan sebagai usaha untuk menambah kemudahan di sekolah tersebut.
Bagaimanapun, acara amal anjuran sekolah itu mencetuskan kontroversi selepas didapati syarikat kilang arak merupakan salah seorang penderma.
Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyiasat perkara tersebut.
Menerusi kenyataan pada Isnin, KPM menegaskan pentadbir institusi di bawah kementerian perlu mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.
“Ia melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani,” katanya.
Namun, insiden itu menerima respons yang pelbagai daripada orang ramai, khususnya media sosial.
Ada yang kata wajar dan ada yang kata tidak wajar syarikat arak menaja sekolah, namun masing-masing mempunyai hujah tersendiri berhubung perkara tersebut.
Sokong
Tak sepatutnya jadi modal politik, sebaliknya harus dipuji
Acara mengumpul dana untuk sekolah vernakular Cina tidak seharusnya dijadikan modal politik, sebaliknya dipuji kerana memberi manfaat kepada ramai pelajar.
Perlu diingatkan bahawa sekolah Cina telah lama menghadapi masalah seperti bangunan sekolah yang rosak, infrastruktur dan pembiayaan yang tidak mencukupi.
Sepanjang 30 tahun syarikat kilang bir itu secara aktif telah mengumpul dana untuk sekolah Cina sehingga mencapai lebih ratusan juta ringgit untuk ratusan sekolah rendah Cina di seluruh negara.
Perbuatan baik yang memberi manfaat kepada ramai pelajar itu harus dipuji tetapi kini fakta diputarbelitkan untuk mewujudkan konflik perkauman dan merosakkan keharmonian sosial.
Sedangkan ia perkara biasa bagi kebanyakan perniagaan mempunyai inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk menyokong pendidikan.
Selagi syarikat berkenaan beroperasi secara sah dan tidak bersyarat semua pihak harus mengalu-alukan usaha tanggungjawab sosial mereka untuk membantu pelbagai jenis sekolah.
Kerajaan juga harus berfikiran terbuka dan menggalakkan sumbangan korporat kepada masyarakat.
Baru-baru ini, KPM mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan menyiasat perkara tersebut.
Dalam masa sama, kementerian juga mengingatkan semua sekolah bahawa garis panduan sedia ada yang melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya.
Atas sebab ini, kita perlu mengingatkan pihak berkuasa supaya bersikap profesional dan rasional serta tidak terpengaruh dengan retorik politik.
Kami percaya adalah perlu bagi kementerian untuk buat kenyataan yang jelas mengenai penerimaan sumbangan daripada hasil produk alkohol supaya tidak menghalang pengumpulan dana.
Kami sudah muak dengan tingkah laku dan penggunaan alasan yang bertujuan menyerang pesaing politik dengan mengorbankan hubungan etnik Malaysia.
- Kenyataan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu (Dong Zong) dan Persatuan Guru Sekolah Cina Bersatu (Jiao Zong)
Bangkang
Tidak wajar, langgar moraliti sebagai rakyat Malaysia
Saya berpendapat kutipan dana sekolah yang melibatkan sumbangan daripada syarikat arak adalah tidak wajar kerana melanggar moraliti sebagai rakyat Malaysia.
Umum mengetahui Malaysia adalah sebuah negara Islam dan secara tidak langsung ajaran agama itu turut mengawal moraliti, akhlak dan susila rakyatnya termasuk penerimaan sumbangan daripada kegiatan yang boleh dianggap berdosa dalam Islam.
Bagaimanapun, sangat mengecewakan apabila perkara tersebut tidak difahami dengan jelas oleh sesetengah pihak dan mereka gagal berfungsi menjadi rakyat Malaysia yang baik.
Sedangkan negara kita sudah 67 tahun merdeka namun masih ada rakyat Malaysia tidak mengetahui mengenai budaya dan agama rasmi negara.
Kalau kata kes menerima derma daripada syarikat arak telah lama berlaku di negara ini mungkin kerajaan terlepas pandang.
Oleh itu, kerajaan perlu melihat semula berhubung perkara tersebut kerana ia jelas merupakan kegagalan besar dalam membentuk manusia Malaysia.
Mahu atau tidak, rakyat Malaysia yang beragama lain perlu faham apa ajaran Islam, bukan suruh masuk agama itu tetapi sekurang-kurangnya mereka jelas dan tidak akan mempertikaikannya.
Dalam masa sama, ingin saya jelaskan bahawa tindakan itu adalah melanggar pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Surat pekeliling itu jelas memberitahu tentang larangan sumbangan yang melibatkan hasil daripada kegiatan seperti perjudian, arak dan hal sebegitu.
Jadi pokok pangkalnya ia tidak seharusnya berlaku lagi pada masa akan datang.
- Pakar pendidikan, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!