Diskaun istimewa al-Quran eksklusif
SHAH ALAM - Orang ramai berpeluang untuk mendapatkan Al-Quran Al-Karim Amazing Perjilid Eksklusif dengan potongan harga lebih 30 peratus sempena Karnival Rakyat Karangkraf yang bakal berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada 26 hingga 28 Julai ini.
Pengurus Jualan Grup Buku Karangkraf (GBK), Roziyana Omar berkata, tawaran pembelian al-Quran itu sempena karnival berkenaan adalah berbeza dengan jualan-jualan sebelumnya.
“Istimewa jualan buku kali ini, kita beri beg jinjing (tote bag) secara percuma kepada mereka yang membuat pembelian Al-Quran Al-Karim Amazing Perjilid. Harga asal RM210 tetapi kita jual RM150 kepada pemegang kad ahli VIP dan RM160 bukan ahli.
“Sebelum ini, tote bag dijual secara berasingan dengan harga RM25 tetapi kali ia diberikan secara percuma sahaja. Ini yang menarik pada jualan kali ini,” katanya di sini pada Rabu.
Sempena Karnival Rakyat Karangkraf, Roziyana berkata, seramai tujuh penulis buku bakal bersama-sama memeriahkan sesi Penulis GBK X Karnival Rakyat 2024.
Menurutnya, penulis novel Sindiket II dan Pemutus Nyawa iaitu Arman Jazee dan Arifful Baqi akan tampil bersama-sama pada sesi pertama pada Sabtu, jam 12 tengah hari hingga 1 petang.
Katanya, kedua-dua naskhah berkenaan merupakan novel bergenre thriller dan ia dikeluarkan khusus sempena Karnival Rakyat Karangkraf.
“Selain itu, kita juga akan menampilkan penulis novel Bangkit, Suri Mawarne; Takhta Mayaloka, Eiffelynne; Perfectly Imperfect Mom, Syahirah Omar; Merindu Nabi di Gaza, Khubaib Akhi; Bawah Payung Awan, Liza Nur dan Siri Ustazah Basikal, Ahmad Isa.
“Kita tampilkan penulis-penulis ini kerana mereka antara pengkarya yang berjaya menambat hati peminat (naskhah laris dijual),” ujarnya.
Dalam pada itu, Roziyana turut memaklumkan, GBK menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan untuk semua peringkat usia.
Jelasnya, ibu bapa yang mahu mendapatkan bahan pembelajaran untuk anak-anak boleh hadir ke Jualan Buku Karangkarf kerana ia dijual pada harga serendah RM2 sahaja.
“Buat peminat novel, kita menawarkan harga runtuh serendah RM5 bagi setiap nashkah. Bagi novel-novel keluaran baharu, kita juga menawarkan diskaun 10 peratus hingga 20 peratus.
“Pengunjung boleh hadir ke reruai GBK untuk mendapatkan pelbagai promosi dan bersama-sama mengikuti aktiviti menarik yang diadakan sepanjang tiga hari acara berlangsung,” katanya.
Karnival Rakyat Karangkraf akan bermula dari jam 9 pagi hingga 7 petang yang mana penganjurannya adalah bersempena ulang tahun Sinar Harian ke-18.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!