Harapan emas Olimpik dan kejutan Pan-gon
KETIKA kontinjen negara dalam fasa bersedia sepenuhnya menjelang Sukan Olimpik 2024 yang bakal membuka tirai di Paris pada awal pagi Sabtu ini, peminat sukan juga tidak kurang sibuknya.
Mereka disajikan dengan aneka cerita yang silih berganti ibarat sitkom bersiri seperti tiada penamat.
Bermula dengan pakaian kontinjen negara umpama ‘harimau tidur’ yang menjadi bahan kritikan warganet di media sosial.
Reaksi mereka memberi impak apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pantas menukar corak baharu tampak lebih garang.
Ironinya, isu itu menjadi iktibar buat pemegang taruh agar tidak syok sendiri kerana apa jua perkara melibatkan sukan sering menjadi perhatian khalayak.
Justeru, perlu lebih berhati-hati selepas ini. Kepentingan rakyat dalam sukan tidak boleh dipandang sebelah mata kerana ada ‘saham’ mereka di situ menerusi pembayaran cukai.
Pun begitu, Majlis Sukan Negara (MSN) masih berteka-teki dengan corak rekaan pakaian kontinjen pada upacara perasmian nanti.
Bayangan yang diberi oleh orang kuat MSN, Abdul Rashid Yaakub bahawa pakaian itu akan membawa imej Malaysia.
Bahkan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang sudah melihat sendiri pakaian itu menyifatkan ia sebagai elegan.
Apa pun, kita tunggu dan lihat, namun diharapkan ia tidak mengundang kontroversi lagi.
Ini kerana fokus utama adalah kepada impian rakyat Malaysia untuk melihat atlet kesayangan mereka menamatkan penantian pingat emas pertama negara.
Semua 26 atlet berpeluang untuk meraih podium atau membaiki rekod peribadi, namun tumpuan peminat sukan terarah kepada jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.
Turut menjadi sandaran emas ialah kem badminton menerusi pemain perseorangan, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Dalam pada itu, sebelum Sukan Olimpik 2024 membuka tirai, tumpuan peminat sukan terarah ke Jerman yang menjadi tuan rumah Euro 2024.
Umum mengetahui, Sepanyol dinobatkan sebagai juara setelah menewaskan England 2-1 dalam aksi final awal pagi 15 Julai.
Menjengah ke Amerika Syarikat (AS), saingan Copa America 2024 juga tidak kurang hangat. Menepati ramalan, juara bertahan yang juga pemenang Piala Dunia 2022, Argentina dijulang sebagai jagoan.
Stadium Hard Rock di Miami menjadi saksi Argentina menang tipis 1-0 ke atas Colombia.
Namun, selang sehari, arena sukan negara dikejutkan dengan khabar peletakan jawatan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya atas alasan peribadi.
Dikhabarkan jurulatih berusia 55 tahun itu mendapat tawaran daripada beberapa kelab di negara kelahirannya, Korea Selatan. Turut berminat ialah China, selain Hong Kong dan kebetulan isteri serta anak-anaknya masih menetap di negara tersebut.
Apa pun Pan-gon masih meninggalkan hala tuju kariernya sebagai teka-teki.
Jadi, tutup cerita Pan-gon, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menamakan Pau Marti Vicente dari Sepanyol sebagai pengganti sementara bagi mengisi kerusi panas tersebut.
Mungkin aura juara Euro 2024 mampu menyerap ke dalam skuad Harimau Malaya selepas ini menerusi acuan jurulatih berusia 41 tahun itu.
Untuk berlaku adil, serah sahaja kepada Marti untuk mencorak karakter skuad negara yang akan berdepan ujian pertama saingan Pestabola Merdeka 2024 yang disertai Tajikistan, Lubnan dan Filipina di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada September ini.
Harimau Malaya juga akan mengharungi Kejuaraan Piala ASEAN pada November dan Disember, diikuti Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac 2025.
Selamat maju jaya kepada atlet kita, sambil diiringi doa rakyat Malaysia agar mereka dapat menempa kejayaan di persada dunia.
* Ahmad Syahir Kassim ialah Wartawan Meja Sukan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!