Tiada ruang peribadi punca anak lari rumah
SHAH ALAM - Peningkatan kes orang hilang disebabkan mengikut teman lelaki adalah berpunca daripada tiga faktor iaitu tahap keselesaan di rumah, hubungan kekeluargaan dan didikan agama atau nilai-nilai murni yang tidak sempurna.
Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohd Dino Khairri Shariffuddin berkata, remaja bertindak berani berkelakuan sedemikian kerana tiada ruang peribadi untuk mereka.
Menurutnya, keselesaan di dalam rumah yang gagal memberikan kebebasan ruangan seperti tempat menukar pakaian, belajar dan tidur akan mampu menyebabkan seseorang individu itu mencari alternatif lain di luar rumah.
“Pada peringkat kanak-kanak mungkin perkara ini dinilai sekadar perkara biasa kerana mereka boleh bermain, bergembira bersama dan tidur beralaskan tilam dan bantal yang sama.
“Bagaimanapun, apabila mereka remaja, keselesaan di rumah telah berubah apatah lagi wujud adik beradik yang berlainan jantina. Ketidakselesaan ini telah menyebabkan mereka memutuskan untuk keluar dari rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, punca tertinggi kes orang hilang yang dilaporkan di negara ini ialah lari dari rumah dan ikut kekasih.
Menurut Saifuddin, bagi kes lari rumah, banyak disebabkan ikut kawan tanpa pengetahuan keluarga dan setiap keluarga perlu memastikan keadaan dalam dan luar rumah mesti kondusif sebagai cara mengatasinya.
Beliau berkata, ibu bapa, keluarga dan penjaga kena bina persefahaman dan komunikasi yang baik kerana ada antaranya berpunca daripada komunikasi yang tidak dapat diluah sehingga menyebabkan ada ahli keluarga mencari jalan keluar sendiri.
Dalam hal ini, Mohd Dino memberitahu, antara langkah membendung masalah berkenaan adalah dengan mengubah sikap ibu bapa daripada seorang yang sentiasa di kedudukan perlu dituruti kepada lebih terbuka dan mudah didekati.
“Zaman telah berubah, remaja hari ini tidak seperti remaja dahulu. Remaja hari ini mampu mendapatkan segala bentuk maklumat. Jadi ibu bapa perlu mengetepikan ego atau sikap yang hanya mahu dituruti,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!