Sumbangan syarikat arak beri mesej salah kepada institusi pendidikan

Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM- Penglibatan syarikat berkaitan arak, rokok dan judi dalam sebarang aktiviti di sekolah atau institusi pengajian tinggi akan memberikan mesej yang salah kepada institusi pendidikan di negara ini.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, kerajaan perlu bertegas dan tidak membenarkan syarikat berkenaan terlibat kerana dikhuatiri akan memberikan implikasi negatif secara keseluruhannya.

“Kita semua tahu bahawa arak itu haram daripada sudut agama dan keduanya, ia memberikan kesan kesihatan yang buruk kepada manusia.

“Jadi, kena berikan pendidikan yang betul kepada pelajar supaya menjauhkan diri daripada arak. Saya bersetuju dan menyokong agar garis panduan KPM dipatuhi kerana ia membawa kepada kerosakan minda, akal, badan, kesihatan dan seumpamanya.

“Sepatutnya tidak wajar untuk syarikat sebegini masuk ke institusi pendidikan, tiada yang terkecuali kerana kita nak beri pendidikan yang betul kepada generasi muda. Jadi, perkara pertama yang harus dilakukan ialah mengelakkan daripada syarikat arak ini menaja apa-apa program di sekolah dan seumpamanya,” katanya.

Tambah Badlishah Sham, kerajaan perlu bertegas dalam soal itu bagi mengelakkan generasi muda negara terpengaruh sehingga membawa kepada keburukan akhlak dan fizikal.

“Saya yakin masyarakat boleh terima, apa-apa yang membawa kepada kerosakan moral dan minda, mesti dielakkan. Kita lihat sahaja apa yang berlaku di Barat sehingga berlakunya keruntuhan moral dan institusi keluarga,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!