Ketepi cita-cita jurutera demi galas legasi perusahaan rempah ratus
KOTA BHARU - Mahasiswa lulusan kejuruteraan sivil dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) sanggup mengetepikan cita-citanya untuk bergelar sebagai seorang jurutera dan memilih bidang perusahaan rempah ratus sebagai mata pencarian utama menyara keluarga.
Anak bongsu daripada dua beradik itu membuat keputusan nekad tersebut pada 19 tahun yang lalu bagi memastikan legasi perusahaan rempah ratus yang diusahakan oleh ayah serta datuknya sejak 1967 tidak lenyap ditelan zaman.
Mohd Anazim Adnan, 42, berkata, beliau sehingga kini seakan tidak percaya akan bergelumang dengan rempah kari daging, ikan, kurma, kerutuk, kuzi, nasi dagang serta serbuk cilik, ketumbar, jintan putih dan manis, serbuk kunyit dan banyak lagi.
"Namun pengorbanan ini berbaloi apabila perusahaan yang dimulakan di belakang rumah dan hanya dijual di sekitar kampung sahaja sudah mulai dikenali di seluruh negara malah ke Selatan Thailand," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Pengkalan Chepa di sini pada Rabu.
Terdahulu, Mohd Anazim menerima kunjungan daripada Pengarah Pihak Berkepentingan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Hizwani Hassan.
Menurut beliau, segala pengorbanan itu berbaloi apabila berjaya membuka sebuah kilang rempah kari yang dikenali sebagai rempah Wau Tradisi.
Ujarnya, hasil bantuan Ekuinas menerusi program ILTIZAM Catalyst membuka laluan buat beliau untuk terus melangkah gagah dalam dunia perniagaan.
Mohd Anazim memberitahu, segala ilmu berkait keusahawanan melalui program tersebut banyak membantu perniagaannya.
"Program ILTIZAM Catalyst benar-benar membantu saya memahami keperluan usahawan. Menariknya, saya dipandu oleh tenaga pengajar yang kaya dengan pengalaman sekali gus penambahbaikan syarikat.
"Sepanjang program saya didedahkan dengan kepentingan perancangan strategik untuk bisnes lebih berkembang maju, penjenamaan produk dan aspek kepimpinan," ujarnya.
Sementara itu, Hizwani berkata, program ILTIZAM Catalyst dibentuk dengan tujuan benar-benar membantu usahawan untuk mengatasi cabaran-cabaran dalam perniagaan.
Katanya, ia merangkumi empat modul iaitu kewangan dan pematuhan, penjenamaan dan pemasaran, penerapan digital dan teknologi dan Kepimpinan.
"Modul ini direka khas untuk menyelesaikan setiap satu dari cabaran-cabaran ini untuk syarikat yang menyertai program ILTIZAM Catalyst.
"Program ini juga unik kerana ia mempunyai ukuran kejayaan selepas peserta tamat program. Langkah inilah yang boleh memberi impak yang begitu besar kepada usahawan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!