[VIDEO] Songlap RM24.2 juta: 10 individu didakwa anggotai kumpulan jenayah terancang

A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seramai 10 individu termasuk dua pengurus bank yang dikaitkan dengan sindiket mencuri wang akaun simpanan tetap milik pelanggan bernilai RM24.2 juta didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kepada kesemua tertuduh di hadapan Hakim Amir Syah Amir Hassan kerana kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Menurut pertuduhan, Josepin J Langkan, 38, sebagai tertuduh kedua, antara 26 April dan 17 Jun 2024 bertempat di cawangan MBSB di Kota Kinabalu didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah material kumpulan yang diketuai olehnya sendiri.

 Tertuduh dibawa masuk ke dalam lori polis ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Tertuduh dibawa masuk ke dalam lori polis ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Bagi tertuduh pertama, T Subramaniam, 56, dituduh antara 9 Mei dan 4 Julai 2024 di cawangan bank sama didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah material kumpulan yang diketuai oleh Josepin.

Tertuduh ketiga, Nasir Abdul Rasid, 60, melakukan kesalahan itu di antara 26 April dan 1 Julai 2024 manakala tertuduh keempat dan kelima yang merupakan pengurus bank, Iren Chin Nyuk Thien, 38, dan Christina @ Caroline Pianus Etip, 53, masing-masing melakukan kesalahan antara tarikh 26 April dan 13 Jun 2024 serta 9 Mei dan 17 Jun 2024.

 Tertuduh dibawa masuk ke dalam lori polis ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Tertuduh dibawa masuk ke dalam lori polis ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Bagi tertuduh keenam, P Sugumaran, 56, dituduh melakukan kesalahan antara 17 Mei dan 3 Julai 2024, tertuduh ketujuh pula, Vireonis Jonok, 35, antara 5 Jun dan 26 Jun 2024 serta tertuduh kelapan, Leong Hin Ping, 62, antara 26 April dan 10 Julai 2024.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh kesembilan, Hasran Magin, 46, dituduh melakukan kesalahan itu antara 26 April dan 1 Julai 2024 dan tertuduh terakhir, Mazlani Jenuary, 53, dituduh antara 26 April dan 4 Julai 2024.

Kesemua mereka melakukan kesalahan itu di cawangan MBSB didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah material kumpulan yang diketuai oleh Josepin.

Sehubungan itu, kesemua tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Seramai 10 individu termasuk dua pengurus bank didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis.
Seramai 10 individu termasuk dua pengurus bank didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak 20 tahun jika disabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 September depan dan kesemua tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail dan Maryam Jamielah Ab Manaff memohon supaya mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada semua tertuduh kerana faktor keselamatan awam dan siasatan yang turut mengambil tempoh masa lama.

Sembilan tertuduh diwakili peguam masing-masing manakala Hasran disyorkan untuk melantik peguam bagi mewakili dirinya.

Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan 10 individu termasuk pengurus bank yang terlibat dengan sindiket curi wang akaun simpanan tetap milik pelanggan dianggarkan bernilai RM24.2 juta dituduh di Mahkamah Kota Kinabalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sebelum ini menahan seramai 14 individu berusia 26 hingga 63 tahun di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!