Gajah liar ceroboh kebun ditangkap
JELI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Kelantan menangkap seekor gajah liar di Kampung Lalat, Batu Melintang, di sini, pada Sabtu lalu.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihak Perhilitan Daerah Jeli menerima aduan mengenai gangguan gajah jantan terbabit pada Jumaat sebelum Unit Tangkapan Gajah (UTG) negeri Kelantan menjalankan operasi menangkap haiwan berkenaan.
“Operasi tangkapan yang dijalankan berjaya menangkap gajah itu di kawasan kampung tersebut.
“Pada Selasa lalu, operasi pemindahan dan pelepasan semula gajah ke habitat lebih sesuai selesai dilakukan pihak Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang dan Perhilitan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, operasi tersebut dapat mengurangkan kebimbangan penduduk sekali gus mengelakkan kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman atau harta benda.
Kata Mohamad Hafid, bagaimanapun pihaknya memaklumkan bahawa operasi tangkapan dan pemindahan gajah bukanlah penyelesaian jangka panjang kerana kampung tersebut berkedudukan berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor.
“HSK ini ialah habitat semula jadi kumpulan gajah liar yang dianggarkan berjumlah lebih 50 ekor.
“Sehubungan itu, penduduk terutamanya pekebun dinasihatkan supaya memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna biru di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk gajah ke kebun,” katanya.
Tambah beliau, penduduk juga perlu sentiasa membersihkan kebun dan tidak dibiarkan semak-samun selain membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun.
“Penduduk juga perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada serta tidak memasuki kawasan kebun berseorangan pada waktu malam.
“Jangan mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya terhadap keselamatan diri sekiranya terserempak dengan hidupan liar,” katanya.
Mohamad Hafid memberitahu, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang aduan dan maklumat berkenaan hidupan liar untuk disalurkan ke Jabatan Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!