Suami isteri nyaris maut kereta terbakar
SUNGAI PETANI - Sepasang suami isteri nyaris maut selepas kenderaan dinaiki terbakar dalam kejadian dekat kawasan perumahan SP Saujana di sini, kira-kira jam 6.15 petang Rabu.
Kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan dari arah SP Saujana ke Ambangan Heights bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri sebelum kebakaran merebak ke keseluruhan bahagian kenderaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, panggilan melalui MERS 999 diterima pada jam 6.15 petang berhubung kejadian.
"Pemeriksaan mendapati tiada kemalangan jiwa di mana kedua-dua mangsa berusia lingkungan 40-an berjaya keluar dari kenderaan.
"Kebakaran dilaporkan meliputi keseluruhan kereta mencecah hampir 100 peratus dan operasi pemadaman dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,"katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati kereta terbabit tersadai di bahu jalan dengan keadaan hangus terbakar.
Kejadian turut menarik perhatian ramai pengguna yang singgah bagi menyaksikan kebakaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!