Warga emas maut, motosikal bertembung lori

Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di kawasan Sungai Tok Pawang kira-kira jam 9.15 malam Rabu. Foto PDRM
Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di kawasan Sungai Tok Pawang kira-kira jam 9.15 malam Rabu. Foto PDRM
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di kawasan Sungai Tok Pawang kira-kira jam 9.15 malam Rabu.

Mangsa dikenali Mahavisunu Manikam, 63, dari Gurun, mengalami kecederaan di kepala dan perut menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal dari arah Sungai Petani ke Gurun, bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, apabila sampai di Kilometer 45 Jalan Alor Setar-Butterworth, mangsa didapati hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sementara pemandu lori tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku pelanggaran depan sama depan.

"Keadaan jalan lurus, dua lorong dua hala dan mempunyai garisan putih berkembar sementara cuaca ketika itu baik namun keadaan laluan agak gelap kerana tidak berlampu.

"Akibat dari kemalangan, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata, hasil siasatan atau punca kejadian didapati akibat kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaan dan masuk laluan bertentangan hingga menyebabkan kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!