Tabung Dana Amanah Kawasan Hijau tingkat kawasan lapang di Kuala Lumpur
SHAH ALAM - Penubuhan Tabung Dana Amanah Kawasan Hijau bertujuan untuk merangsang kerjasama antara sektor awam, swasta dan penglibatan masyarakat umum dalam meningkatkan kualiti landskap hijau negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif tersebut bagi memastikan sumber dana tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata tetapi turut disumbang pelbagai pihak.
"Penubuhan ini masih dalam peringkat perbincangan. Sekiranya penubuhan tabung ini berjaya, usaha meningkatkan kawasan hijau ataupun kawasan lapang ibu negara menggunakan formula 20 meter persegi per penduduk... selaras dengan aspirasi Plan Struktur Kuala Lumpur 2040 dapat dicapai lebih awal.
"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneliti Seksyen 9 dan 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] bagi maksud penubuhan tabung melibatkan pengurusan wang awam.
"Tabung akan diuruskan sebagaimana kumpulan wang amanah yang ditubuhkan agensi kerajaan lain mengikut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia WP 10.4 dan tata cara pengurusan akaun kumpulan wang amanah," katanya dalam sidang Dewan Negara pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkaitan Tabung Dana Amanah Kawasan Hijau.
Sementara itu menjawab soalan asal Hisamudin mengenai bentuk pemantauan berkala oleh pihak DBKL terhadap daya tahan dan perkembangan usia pokok-pokok besar di Kuala Lumpur, beliau menjelaskan terdapat tiga mekanisme untuk memantau pokok.
Ujarnya, yang pertama melibatkan tahap satu di mana 'non-aboris' membuat pemeriksaan pokok melalui penilaian visual berdasarkan pengalaman kerja dan juga pengetahuan dalam bidang arborikultur.
"Tahap kedua pula melalui penilaian pokok visual (VTA) yang dilaksanakan oleh aboris bertauliah dengan menggunakan piawaian ditetapkan International Society of Aboriculture (ISA).
"Bagi tahap ketiga, penilaian terhadap keadaan struktur pokok menggunakan peralatan khas iaitu 'Resistograph' dan menggunakan khidmat perkhidmatan pemanjat pokok untuk membuat penilaian di bahagian atas," katanya.
Tambah beliau, penilaian dan pemeriksaan pokok tahap satu dilaksanakan bagi setiap 10 bulan untuk satu pusingan, manakala tahap dua serta tiga dilakukan di lokasi yang mempunyai sejarah kegagalan serta bilangan pokok berisiko tinggi.
Ujarnya, ia termasuk lokasi yang berfrekuensi tinggi berdasarkan penggunaan orang awam dan juga kawasan padat dengan harta benda berharga.
Dalam pada itu beliau berkata, DBKL turut menjalankan pemeriksaan secara komprehensif dan terperinci bagi terhadap kesihatan serta kesuburan pokok yang tidak boleh dilihat oleh 'Visual Tree Assessment' seperti bahagian akar, batang dan juga silara pokok.
"DBKL menggunakan satu sistem yang dinamakan e-pokok, di mana sistem ini dibangunkan sejak 2019 dan jumlah pokok yang diinventori dimasukkan dalam sistem ini adalah sebanyak 236,551.
"Sistem tersebut bertujuan untuk merekodkan data, inventori pokok, penanaman pokok baru, daftar pokok dan kerja penyelenggaraan pokok.
"Hasil penggunaan sistem dapat sebenarnya membantu DBKL untuk memantau dan menyediakan laporan kerja-kerja penyelenggaraan pokok di Kuala Lumpur," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!