Kes tembak KLIA: Tiga dokumen belum diserahkan

Hafizul (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis, bagi sebutan semula kes melepaskan tembakan di KLIA Terminal 1, pada April lalu.
Hafizul (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis, bagi sebutan semula kes melepaskan tembakan di KLIA Terminal 1, pada April lalu.
A
A
A

SEPANG - Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa, terdapat tiga dokumen berhubung kes melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, membabitkan pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari belum diserahkan kepada pembelaan.

Semasa sebutan kes di hadapan Hakim, Amir Affendy Hamzah, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Abdullah berkata, dokumen lain telah diserahkan kepada pasukan pembelaan secara separa.

"Dokumen yang masih belum disediakan ialah laporan perubatan, kimia dan forensik.

"Susulan itu, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes dalam masa sebulan, bagi serahan dokumen tambahan terbabit," katanya.

Mendengar perkara itu, tertuduh yang diwakili peguam, Nik Azim Azlan mengesahkan sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pembelaan.

Hafizul (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis, bagi sebutan semula kes melepaskan tembakan di KLIA Terminal 1, pada April lalu.
Hafizul (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis, bagi sebutan semula kes melepaskan tembakan di KLIA Terminal 1, pada April lalu.

"Saya tidak membantah permohonan untuk penetapan tarikh lain bagi serahan dokumen," katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Mohammad Shafiq Mohammad Lazim.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Hafizul, 38, yang berbaju putih kelihatan tenang, tiba di mahkamah pada jam 9.40 pagi.

Mengikut pertuduhan pertama, pengurus syarikat agensi pelancongan berkenaan didakwa cuba membunuh ahli perniagaan, Farah Md Isa, 38, di balai ketibaan lapangan terbang itu di Terminal 1, di sini pada jam 1.09 pagi, 14 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 10 tahun dan denda, namun jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tujuh anak itu didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Mohd Nur Hadith Zaini, 38, menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kes berkenaan, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, mahkamah menolak ikat jamin diberikan kerana kes yang dipertuduhkan ialah serius.

Berikutan itu, Hafizul kekal ke Penjara Sungai Buloh sehingga sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!