Bekas kakitangan JAIM didenda RM50,000 tipu guru

Muhammad Anuar (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka pada Khamis.
Muhammad Anuar (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka pada Khamis.
A
A
A

MELAKA – Bekas penolong pegawai tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis, selepas mengaku bersalah menipu seorang guru dengan nilai kerugian lebih RM30,000.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Anuar Mat Zin, 39, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan pilihan pertama dibacakan terhadapnya.

Dia turut berdepan penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memperdayakan seorang Guru Sambilan Tidak Terlatih (GSTT) untuk mempercayai bahawa resit rasmi bagi maksud pembayaran balik emolumen imbuhan tetap perumahan (ITP), elaun bantuan kos sara hidup (COLA) dan elaun kakitangan awam (EKA) kerana peletakan jawatan berjumlah RM30,749.88 adalah tulen.

Tindakan secara tidak jujur itu telah mendorong mangsa menyerahkan sejumlah wang berkenaan yang tidak akan diserahkan jika tidak diperdayakan sedemikian.

Perbuatan dilakukan di pejabat Bahagian Sumber Manusia 2, JAIM di sini, antara 3 November 2017 hingga 8 November 2017.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Fakta kes, tertuduh ketika kejadian bertanggungjawab mengawal selia pegawai bawahan Unit PSM dalam menguruskan hal-hal berkaitan perkhidmatan guru-guru agama bagi sekolah rendah dan menengah agama, hal berkaitan gaji, kontrak dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Mei 2017, tertuduh kemudian telah menyediakan surat tuntutan bayaran balik gaji terlebih bayar dengan kaedah bayaran secara tunai dan resit rasmi kerajaan negeri Melaka kepadanya dan tiga lagi orang guru sandaran tidak terlatih.

Perbuatan itu mendorong mereka menyerahkan wang tunai RM154,884.40 kepada tertuduh sedangkan bayaran tersebut tidak diterima oleh pihak JAIM.

Siasatan yang dijalankan tertuduh telah membuat dan menandatangani surat tuntutan bayaran balik gaji terlebih bayar tersebut dan mengeluarkan resit rasmi kerajaan negeri Melaka.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali tidak membantah hukuman denda tanpa dipenjara.

Dia juga mencadangkan tertuduh didenda sekurang-kurangnya RM50,000 sebagai pengajaran.

Peguam Mohd Nazri Abd Hamid merayu nilai denda rendah kerana anak guamnya merupakan bapa tunggal yang perlu menyara tiga anak masih bersekolah selain ibu dan bapa tidak bekerja.

Anak guamnya juga telah digantung tugas di bahagian sumber manusia sebuah kolej matrikulasi di Johor malah berisiko dibuang kerja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!