FAM pertahan keputusan pengadil, minta penyokong Kedah jangan emosi

Pemain Kedah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor mengasak pemain JDT Shahrul Mohd Saad pada perlawanan Piala FA, Kedah Darul Aman FC (KDAFC) bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman. Foto Bernama
Pemain Kedah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor mengasak pemain JDT Shahrul Mohd Saad pada perlawanan Piala FA, Kedah Darul Aman FC (KDAFC) bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman. Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mempertahankan keputusan yang telah dibuat oleh pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala FA, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, tindakan Muhammad Nazmi yang tidak memberikan penalti kepada KDA FC adalah tepat dan meminta penyokong bola sepak tempatan menghormati setiap keputusan pengadil.

"Setakat sejumlah 42 perlawanan Liga Super dan Piala FA bagi musim 2024-2025 ini, penggunaan teknologi VAR serta prestasi pengadil berada pada tahap sangat cemerlang.

"Ini termasuk perlawanan separuh akhir pertama Piala FA, KDA FC menentang JDT di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 19 Julai lalu yang mana keputusan tidak memberikan sepakan penalti kepada KDA FC oleh Muhammad Nazmi adalah sangat tepat.

"FAM mendapati terdapat beberapa reaksi dan komen-komen yang tidak sihat dilakukan oleh para peminat dan penyokong termasuk juga pemain dan bekas pemain. Rata-rata komen mereka hanya dibuat mengikut emosi dan tidak memahami undang-undang bola sepak FIFA dan protokol VAR.

"FAM berharap semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh seseorang pengadil dan jangan membuat komen-komen dengan hanya mengikut emosi atau tanpa memahami undang-undang bola sepak FIFA dan protokol VAR," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam perlawanan tersebut, penyokong menyifatkan KDA FC seharusnya diberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan JDT, Shahrul Saad pada penghujung babak perlawanan yang berkesudahan tuan rumah tewas 1-2.

Menurut Sivasundaram, FAM menekankan bahawa setiap program pembangunan pengadil dan pengoperasiannya adalah berasaskan kepada penanda aras yang ditetapkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan FIFA.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan dan operasi Video VAR di Liga Malaysia adalah berasaskan kepada protokol VAR FIFA dan ia diiktiraf oleh FIFA.

"FAM sentiasa mengutamakan ketepatan keputusan dan prestasi pengadil yang optimum daripada setiap pengadil yang mengadili perlawanan Liga Malaysia. Keputusan sesuatu perlawanan itu sama ada menang, seri atau kalah, ia datang daripada pasukan itu sendiri.

"FAM juga memiliki sistem pengajaran dan pemantauan prestasi pengadil yang setaraf dengan piawaian antarabangsa yang melibatkan pembangunan dan pengajaran yang berfokus pada ‘makro- mikro’ seperti ‘Pre-match briefing’, ‘Post match debriefing’, ‘online post match debriefing’,‘video editing and analysis’, 'VAR Refresher Course’ dan sebagainya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!