BN alu-alukan sesiapa sahaja datang berkempen PRK DUN Nenggiri
KOTA TINGGI - Tiada mana-mana pihak yang dihalang Barisan Nasional (BN) untuk berceramah semasa kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan BN menghalang empat individu tampil di atas pentas ceramah parti itu pada PRK DUN Nenggiri sebagaimana yang tular di media sosial, disifatkan sebagai surat layang.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan semua yang boleh memenangkan calon BN pada PRK DUN Nenggiri yang bakal berlangsung pada 17 Ogos depan.
“Surat itu pun surat palsu, bermakna surat layang. Tidak ada kebenaran pun.
"Setakat ini, kita mengalu-alukan semua pihak yg boleh memenangkan calon BN di Nenggiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada sidang akhbar selepas menyampaikan Perutusan Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pusat Konvensyen Desaru Coast, Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Khamis.
Sebelum ini, BN menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan mana-mana Unit Daerah Mengundi (UDM) BN menjemput empat individu termasuk Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli untuk tampil di pentas ceramah sepanjang PRK DUN Nenggiri, Kelantan.
Menerusi hantaran di laman Facebook BN memaklumkan kenyataan palsu seperti itu adalah mainan politik untuk memecah belah perpaduan di dalam kerajaan sekarang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, langkah memperkenalkan calon PRK Nenggiri lebih awal memberi kelebihan kepada BN.
Katanya, terdapat 20 pusat daerah mengundi (PDM) di DUN Nenggiri dengan parti sudah mengkoordinasikan pergerakan calon untuk pergi kesemua PDM berkenaan.
"Terdapat lima PDM Orang Asli dan untuk sampai kelima-lima agak sukar, namun kita susah mulakan kerja awal, maka ia akan memudahkan dalam tempoh kempen supaya jentera dapat pergi ke tempat lain pula.
"Terdapat sembilan PDM membabitkan kampung tradisional, lima PDM di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan satu PDM di bawah Felda, semuanya sudah diambil kira dan telah dilakukan penyelarsan jentera.
"Pengarah PRK DUN Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang juga telah berbincang dengan saya mengenai pendekatan dan kaedah berkesan untuk kempen di kawasan berkenaan," katanya.
PRK itu diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!