Ayuh sertai program Baca Puisi PEMUISI@Sinar Harian
SHAH ALAM - Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) berhasrat untuk memartabatkan puisi dalam kalangan masyarakat menerusi program Baca Puisi PEMUISI@Sinar Harian sempena Karnival Rakyat Karangkraf 2024.
Presidennya, Datuk Dr Radzuan Ibrahim @ Wanrazuhar berkata, orang ramai dijemput menyertai aktiviti berkenaan pada 27 Julai bermula jam 5 petang hingga 7 malam di Dewan Karangkraf, Kompleks Karangkraf Seksyen 15, di sini.
"Kita memang buka kepada awam tiada sebarang syarat ditetapkan, janji mereka minat dengan puisi. Kita sasarkan 20 orang untuk ambil bahagian dalam program ini.
"Bagi aktiviti kali ini kita bawa tema Puisi Berjiwa, Bangkitkan Nostalgia... sesuai dengan konsep yang ditetapkan bagi Karnival Rakyat Karangkraf 2024," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Program berkenaan akan dirasmikan oleh Penasihat Pemuisi, Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan dan dihadiri tetamu kehormat lain antaranya Tokoh Sasterawan Veteran, Dr Ibrahim Ghafar; Penyanyi puisi terkenal, Siso Kopratasa; Penyair, Kepten Datuk Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob dan Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan.
Mengulas lanjut beliau berkata, aktiviti tersebut akan berlangsung secara santai di mana individu yang mengambil bahagian juga berpeluang untuk bertemu dengan sasterawan serta karyawan negara.
"Invidu yang terlibat juga boleh mendaftarkan diri menyertai Pemuisi, kita akan bawa borang untuk mereka yang berminat. Yuran dikenakan bagi ahli seumur hidup adalah RM200, manakala RM40 (ahli biasa) dan RM10 (setahun).
"Saya berharap supaya lebih ramai peminat puisi dan sasterawan negara akan turut serta dalam program ini untuk semarakkan serta mengangkat martabat puisi dalam kalangan masyarakat," ujarnya.
Karnival Rakyat Karangkraf akan bermula dari jam 9 pagi hingga 7 petang yang mana penganjurannya adalah bersempena ulang tahun Sinar Harian ke-18.
Bertemakan tradisional dan kerakyatan, karnival tersebut mengetengahkan dua komponen utama iaitu Sukan Rakyat dan Pentas Rakyat.
Pelbagai program serta aktiviti disediakan buat pengunjung termasuk Busking Rock Kapak, Rumah Hantu, Motor Siput, Pakaian Kucing Tercantik Tomkraf, ‘Couple’ Bikin Romantis, Sukaneka, SinarPlus MakanFest, Tating Lawi, Tuju Tin, Riuh Rewang dan banyak lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!