Suspek bunuh Nur Farah Kartini dituduh esok

Hussein Omar Khan. Gambar kecil: Nur Farah Kartini
Hussein Omar Khan. Gambar kecil: Nur Farah Kartini
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, pada Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya sebelum mendapat arahan tuduh pada Khamis.

"Suspek akan dituduh pada jam 9 pagi esok (Jumaat) di Mahkamah Kuala Kubu Bharu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit salah hendaklah dihukum mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Seri Keledang, Hulu Selangor, 15 Julai lalu.

Berikutan itu, hari yang sama, suspek iaitu seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Perak telah ditahan.

Suspek berusia 26 tahun kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai sebelum dilanjutkan lagi tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sepanjang tempoh itu, beberapa barang kes yang dikaitkan dengan kes terbabit telah dijumpai antaranya telefon pintar, beg tangan, kunci kereta dan dompet berisi kad pengenalan Nur Farah.

Artikel Berkaitan:

Penemuan barang kes itu ditemui di sekitar lokasi penemuan mayat mangsa selain di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.

Mangsa yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!